BM | EN | 中文

Kes kebakaran terbuka di Johor meningkat sejak pertengahan Februari 2021

kebakaran-hutan.jpg

Gambar Fail

Advertisement

JOHOR BAHRU, 8 MAC: Aduan dan laporan kes kebakaran terbuka di negeri ini meningkat sejak pertengahan Februari lalu susulan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mendapati beberapa kawasan tanah gambut di kawasan seperti di daerah Muar, Kota Tinggi, Pontian serta Gelang Patah di sini, terbakar dalam tempoh itu.

“Antara langkah yang sedang dilakukan bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering ketika ini termasuk mengaktifkan dan meningkatkan aktiviti rondaan darat serta dron bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan, terutamanya di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar.

Advertisement

“Pelaksanaan tindakan mahkamah turut dilakukan bagi kes-kes pembakaran terbuka di kawasan tapak binaan, industri dan ladang, manakala bagi kes-kes pembakaran terbuka yang kecil, akan dikenakan kompaun,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Vidyananthan berkata, langkah lain adalah memastikan pembakaran yang dilakukan adalah aktiviti yang diisytiharkan mematuhi syarat-syarat ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Diisytiharkan) (Pembakaran Terbuka) 2003, selain mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan ke atas pelepasan daripada kenderaan bermotor.

Beliau berkata, kerajaan negeri dalam masa sama, turut mengaktifkan kempen kesedaran khususnya melalui radio tempatan, bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengupayakan pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran, bagi membantu memantau kes-kes pembakaran terbuka.

Advertisement

Vidyananthan sehubungan itu, turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan memadam kebakaran kecil.

“Melakukan pembakaran terbuka adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Jika sabit kesalahan, individu yang melakukan pembakaran terbuka atau pemilik tanah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top