BM | EN | 中文

Kes Geng Nicky: Permohonan habeas corpus dua pegawai SPRM dibatal

mahkamah.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan permohonan habeas corpus dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar mereka dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Utusan Online melaporkan, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas peguam Latheefa Koya yang mewakili kedua-dua pegawai itu memaklumkan mereka telah dibebaskan pada 18 Mei lalu.

Mereka yang berjawatan Penguasa dan Penolong Penguasa masing-masing ditahan pada 21 dan 27 April lalu oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersabit dengan Ops Pelican 3.0 ketika berada di Ibu pejabat SPRM.

Advertisement

Minggu lalu, seorang lagi peguam yang mewakili mereka, Zaid Malek memberitahu pemohon-pemohon dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu hasil siasatan berhubung kes tersebut dan mereka boleh didakwa sekiranya pendakwa raya mempunyai bukti yang cukup.

Sehubungan itu, Latheefa memaklumkan pihak pemohon menarik balik permohonan habeas corpus tersebut. Permohonan itu sepatutnya didengar hari ini.

Dalam pada itu, Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti memberitahu mahkamah pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan itu.

Advertisement

Kedua-dua pegawai tersebut masing-masing berusia 41 tahun dan 42 tahun ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky dan disiasat di bawah Seksyen 130V sehingga 130ZB Kanun Keseksaan.

Mereka memfailkan permohonan habeas corpus berasingan di Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Mei lalu dengan menamakan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dua pegawai polis Asisten Superintendan Prakash dan Deputi Superintendan Azlan Ahmad, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden-responden.

Kedua-dua lelaki itu memohon perintah bahawa penangkapan serta penahanan mereka adalah tidak teratur, di luar bidang kuasa kawasan polis Johor dan tidak sah.

Advertisement

Pemohon-pemohon menyatakan siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 130V sehingga 130ZB terlampau luas serta merangkumi elemen berbeza yang mana responden tidak mempunyai asas untuk menahan mereka.

Selain itu, mereka mendakwa tiada unsur kesalahan yang membenarkan penggunaan SOSMA dan penahanan mereka adalah tidak sah, melanggar undang-undang dan bersifat mala fide serta bercanggah dengan Perkara 5 dan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan Geng Nicky.

Advertisement

Nicky, 33, pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Ops Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top