MUAR, 10 SEPT: Terdapat peningkatan saban tahun berhubung kes-kes baru diabetis, hipertensi dan hiper kolesterol yang didaftar dan dirawat di fasiliti klinik kesihatan di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, sehingga Julai 2019, sebanyak 18,975 kes diabetis berdaftar di Muar.
“Purata peningkatan setahun adalah seramai 930 kes yang mana seramai 17,804 kes sepanjang tahun lepas membabitkan kes diabetis.
“Manakala, hipertensi melaporkan seramai 21,976 kes sehingga Julai lepas yang mana purata peningkatan kes adalah seramai 783 kes,” katanya.
Mohd Khuzzan berkata demikian ketika Perasmian 10,000 Langkah Riang Ria Merdeka Sihat Daerah Muar 2019, di sini, semalam.
Beliau yang juga Adun Semerah berkata, bagi kes hiper kolesterol pula, data yang diperolehi adalah dari keputusan audit klinikal diabetis yang dilaksanakan setiap tahun.
“Hasil audit dalam tahun ini menunjukkan faktor risiko penyakit tidak berjangkit hiper kolestrol ini adalah sebanyak 74.6 peratus,
“Seramai 2,191 orang menghidapi hiper kolestrol dari 2,829 sampel kes diabetis yang dikenalpasti,” katanya.
Tambah Khuzzan, penyakit tidak berjangkit ini berpunca dari faktor antaranya seperti kegemukan, paras lemak darah dan kolestrol yang tinggi, tabiat merokok, pemakanan yang tidak sihat dan cara hidup yang tidak aktif.
“Kebanyakan risiko-risiko tersebut boleh dicegah. Pelbagai aktiviti-aktiviti menjurus kepada penjagaan kesihatan telah dan sedang dipromosikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Di antaranya ialah menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik, mengamalkan pemakanan sihat seperti suku suku separuh, menjalani kehidupan yang aktif seperti berjalan 10,000 langkah setiap hari, bersukan dan banyak lagi,” katanya lagi.
Johorkini