JOHOR BAHRU, 30 SEPT : Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar mencadangkan supaya diwujudkan satu rumah satu sukarelawan Jawatankuasa Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi).
Menurutnya, ia susulan peningkatan 100 peratus kes denggi di negeri ini bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lepas berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Sukarelawan Combi bertindak sebagai agen komunikasi yang menyampaikan mesej dan maklumat kesihatan kepada masyarakat dalam usaha membasmi denggi.
“Combi merupakan satu pendekatan dinamik yang menggunakan strategi mobilisasi sosial dan komunikasi untuk mempengaruhi individu, keluarga dan komuniti ke arah perubahan tingkah laku yang sihat,” katanya selepas mengetuai mesyuarat Combi di Yayasan Warisan Johor, di sini, hari ini.
Mohd Khuzzan yang juga Adun Semerah berkata, setakat ini terdapat 6,000 keanggotaan Combi di 615 lokaliti di seluruh Johor.
“Ia membabitkan 537 Combi komuniti di lapan institusi, 10 agensi kerajaan, empat daripada swasta dan tiga kilang,” katanya.
Tambahnya, setakat September ini nisbah kematian akibat denggi di Johor ialah satu kematian setiap minggu.
“Tiga daerah yang mencatat kes tertinggi ialah Johor Bahru, Batu Pahat dan Kluang,” katanya lagi.
Johorkini