BM | EN | 中文

Kertas siasatan 18 penguatkuasa terlibat sindiket seludup migran ke Pejabat Peguam Negara

Jabatan-Peguam-Negara1.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 7 JUL: Polis Johor telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes 18 pegawai serta anggota polis dan tentera yang ditahan pada 18 Jun lepas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing dan dadah kepada Pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya kini menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, kertas siasatan baki lima lagi suspek merangkumi tiga pegawai imigresen, seorang anggota polis marin yang masing-masing ditangkap pada 24 Jun serta seorang penolong pengarah imigresen yang ditahan pada 2 Julai lepas sedang dilengkapkan, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Advertisement

Ayob Khan juga menegaskan pihaknya tidak akan berhenti melakukan siasatan dan operasi bagi mengesan suspek-suspek yang terlibat.

“Ini bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam, iaitu hari ini buat operasi setelah itu berhenti,” katanya ketika mengulas mengenai perkembangan kes penahanan 23 anggota dan pegawai penguat kuasa yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan migran.

Ketika ditanya mengenai status siasatan lelaki ditembak mati oleh pengawal keselamatan ketika cuba menyamun sebuah bank serta menahan tebusan di Felda Ayer Tawar 5, Kota Tinggi bulan lepas, Ayob Khan berkata siasatan masih dijalankan dan pihaknya sedang menunggu laporan forensik.

Advertisement

Menurutnya siasatan setakat ini juga mendapati suspek bertindak bersendirian dan bukan atas arahan atau pengaruh pihak ketiga seperti yang didakwa segelintir pihak.

Katanya pujian juga harus diberikan kepada pengawal keselamatan terbabit kerana bertindak cepat.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top