BM | EN | 中文

Kerjasama media, PDRM penting untuk sebar maklumat

Kerjasama-media-PDRM-penting-untuk-sebar-maklumat.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 24 APR: Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan media amat penting dalam memastikan sebarang usaha penyebaran maklumat dan informasi tepat serta sahih kepada masyarakat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, media banyak memainkan peranan sebagai medium penyampai maklumat terutamanya dalam menyebarkan usaha PDRM membanteras jenayah dan menjaga keselamatan awam.

“Dengan adanya kerjasama ini, saya yakin kita dapat memantapkan lagi sebarang penyaluran maklumat kepada masyarakat. Malah, sumbangan media di Johor amat besar terutamanya dari segi laporan berhubung kejayaan-kejayaan polis di Johor.

Advertisement

“Inisiatif ini juga berupaya meningkatkan semula imej PDRM dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, Ayob Khan sempat menunjukkan kemahiran menebar beberapa keping roti canai untuk dihidangkan kepada para tetamu yang menyertai program singgah sahur itu.

Sebelum itu, Hasni yang juga Penaung KMJ bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak serta 30 ahli KMJ mengagihkan 200 juadah bersahur kepada petugas barisan hadapan di empat lokasi.

Advertisement

Antaranya ialah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor, Hospital Sultanah Aminah dan IPK Johor.

Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata, program tahunan sejak 2015 itu bertujuan memberi penghargaan kepada pasukan keselamatan dan perubatan sekali gus mengeratkan hubungan petugas barisan hadapan dengan media.

“Petugas barisan hadapan sentiasa melaksanakan tugasan terbaik tanpa mengira masa dan lokasi, lebih-lebih lagi semasa penularan Covid-19.
“Jadi, program seperti ini adalah antara cara bagi kami petugas media menunjukkan tanda sokongan kepada mereka,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top