ISKANDAR PUTERI, 28 NOV: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) bekerjasama rapat dengan jabatan dan agensi persekutuan dan negeri bagi memastikan rakyat di negeri Johor mendapat faedah daripada pembangunan koridor ekonomi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, antara tumpuan ialah pembangunan belia melalui penyediaan fasiliti merentasi fungsi beberapa jabatan kerajaan.
Antara program berkaitan belia yang telah dan sedang dijalankan IRDA adalah pembangunan Youth Hub seluas 15 ekar di Hutan Bandar MBJB yang akan dilancarkan pada tahun hadapan.
“Ia merupakan suatu kemudahan ‘one-stop’ untuk golongan belia menjalankan aktiviti fizikal dan pembangunan insaniah.
“Projek Youth Hub Hutan Bandar MBJB merupakan projek hab tempatan dan pihak IRDA sedang membangunkan pelan konsep untuk Hab Antarabangsa (Regional) seluas 40 ekar di kawasan Iskandar Puteri.
“Youth Hub atau Hab Belia adalah platform bagi komuniti belia berkumpul, bertukar idea dan menganjurkan aktiviti rekreasi bersesuaian minat dan citarasa masa kini generasi belia,” kata Sheikh Umar.
Beliau menjawab soalan Cheo Yee How P(H-Perling) mengenai keluasan kawasan dan jenis fasiliti disediakan IRDA bagi faedah belia negeri Johor, dalam perbahasan Belanjawan Johor 2020 di Kota Iskandar, hari ini.
Tambah Sheikh Umar, Tabung Pemerkasaan Belia Iskandar Malaysia (IMPOWER) iaitu, geran berjumlah RM3 juta dikhaskan untuk memperkasa golongan belia dalam melaksanakan program yang mampu menambah baik kualiti kehidupan komuniti setempat;
Selain itu, turut diwujudkan program Johor Student Leaders Council (JSLC) bagi membina ikon positif di kalangan golongan muda dan menjadikan mereka pemimpin yang akan menerajui Iskandar Malaysia dengan semangat dan kesetiaan yang tinggi kepada negara dan Johor.
Manakala, program ‘Youth to Biz’ dengan geran RM4 juta bagi menggalakkan penyertaan golongan belia dalam aktiviti keusahawanan berkonsep baru dan terkini.
“Pelbagai program pembangunan bakat dan kemahiran untuk belia termasuk graduan muda, lepasan sekolah, usahawan muda serta profesional semenjak 2008 bagi memastikan mereka dapat mengisi peluang pekerjaan di Iskandar Malaysia.
“Dianggarkan kira-kira lebih RM40 juta telah dibelanjakan dan memberi manfaat kepada belia tempatan,” katanya lagi.
Johorkini