BM | EN | 中文

Kerjasama dwiparti di parlimen kaedah terbaik ketika darurat – REFSA

REFSA-Fakhrurrazi-Rashid.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Badan pemikir Research for Social Advancement (REFSA), menyokong saranan ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) yang menggesa kerajaan Malaysia mengembalikan sidang parlimen bagi memastikan tadbir urus dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

Penyelaras penyelidik REFSA, Fakhrurrazi Rashid dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu wajar dilakukan kerajaan bagi membantu rakyat dan negara ketika menghadapi krisis pandemik.

“REFSA mencadangkan pihak eksekutif melihat parlimen sebagai rakan strategik dan menggunakan pendekatan pentadbiran secara dwipartisan dalam proses membuat dasar bersama ahli parlimen merentasi perbezaan parti politik.

Advertisement

“Pendekatan dwipartisan ini telah disarankan pelbagai pihak termasuk Senator Liew Chin Tong sebagai satu penyelesaian dari segi kerjasama dwipartisan kerajaan dan ahli parlimen menghadapi krisis COVID-19,” kata Fakhrurrazi.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Datuk Azhar Azizan Harun dan Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, perlu menyahut saranan APHR untuk memberi ruang kepada parlimen menjalankan peranan semak dan imbang terhadap tadbir urus pihak eksekutif.

“Kami turut menyokong cadangan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said agar menubuhkan sebuah jawatankuasa parlimen khas bipartisan yang dianggotai ahli parlimen kerajaan, pembangkang dan ahli Dewan Negara untuk menyemak dan meneliti tadbir urus kerajaan ketika pandemik dan darurat.

Advertisement

“Perkara ini pernah dilaksanakan oleh parlimen New Zealand dengan penubuhan Epidemic Response Committee: Covid-19 dianggotai ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk menyemak ketelusan tadbir urus kerajaan selepas parlimen mereka terpaksa ditangguhkan akibat pengisytiharaan perintah berkurung tahap penularan kritikal di New Zealand.

“Kerajaan perlu menjelaskan komitmen melaksanakan persidangan parlimen secara maya berikutan penularan COVID-19 seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan pada 5 November di Dewan Rakyat .

“Kelewatan parlimen mengadaptasi teknologi bagi melancarkan urusan parlimen secara maya selepas setahun pandemik berlaku hanya akan merugikan rakyat,” katanya lagi.

Advertisement

Tambah Fakhurrazi, pendekatan dwiparti selari aspirasi rakyat yang menuntut wakil rakyat dan pentadbiran bersama membahaskan isu berkepentingan rakyat dan negara.

Kerjasama itu katanya adalah pendekatan pragmatik dan mampu membina keyakinan rakyat terhadap hala tuju negara demi membina semula asas yang baik buat Malaysia untuk bangkit daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

“Rakyat Malaysia selayaknya menerima pemimpin kerajaan dan ahli parlimen yang mampu bekerjasama dengan lebih baik ketika COVID-19 dan tempoh darurat,” ujarnya lagi.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top