MUAR, 14 FEB: Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin memberitahu penukaran kereta rasmi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor adalah munasabah kerana sebahagian daripada aset tersebut telah lanjut tempoh penggunaan.
Malah tambah beliau, kenderaan rasmi sebelum ini telah berusia hampir enam tahun dan ada diantaranya yang mengalami masalah sehingga rosak ketika sedang digunakan.
“Untuk pengetahuan semua, kereta yang telah dibeli oleh kerajaan negeri adalah sebanyak 15 buah dimana Exco dan Ex-Officio secara rasminya pada Rabu, 12 Februari lalu.
“Melalui siasatan dan penelitian pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), kebanyakan kereta tersebut telah bergerak sejauh lebih 350,000 kilometer dan selalu rosak. Keadaan penggunaan kereta itu seperti sudah berusia 15 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan pada sidang media selepas taklimat peluasan sektor skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri (SKSPS) di Hotel Traders Muar, disini hari ini.
Tambah beliau, berikutan itu, kerajaan negeri berpandangan perlu untuk menggantikan dengan kereta baharu dan rancangan pertukaran ini telah dibuat sejak tahun lalu.
“Kalau tuan-tuan perasan, sesetengah exco saya terpaksa mengalami kerosakkan keretanya di tepi jalan dan kita terpaksa ‘cover’ (ganti) dengan kereta lain.
“Rancangan mengganti kereta ini telah ada sejak tahun lepas lagi yang mana kita merancang untuk menggantikan kepada kereta Honda Accord juga.
“Namun, hingga ke sekarang pesanan Honda Accord masih tidak dapat lagi menyebabkan pada pertengahan bulan lepas, kerajaan negeri berpandangan perlu untuk kita mencari alternatif kenderaan jenis lain dan kerajaan negeri berpandangan kita perlu menggantikan dengan Toyota Camry,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang membangkitkan kewajaran pembelian kenderaan tersebut melalui satu kenyataan, baru-baru ini.
Baru-baru ini, tular sebuah gambar yang menunjukkan beberapa buah kenderaan baharu yang dipercayai bagi kegunaan pemimpin kerajaan negeri dijadikan isu oleh pihak pembangkang.
Tambah Dr Sahruddin, beliau turut menasihati pemimpin Pakatan Harapan untuk bertanya terus kepada kerajaan negeri dalam apa-apa perkara yang bersesuaian.
“Apapun yang kita hendak komen dan respon, memandangkan kita dari parti komponen kerajaan yang sama, sepatutnya apa-apa isu kita terus bertanya kepada kerajaan.
“Kita kena bersepakat baik-baik, (sebab) muafakat itu berkat,” katanya lagi.
Johorkini