SHAH ALAM, 12 APR: Kerajaan Selangor menyasarkan 1,000 produk akan dijual menerusi platform e-dagang AgroShop.My hingga hujung tahun ini.
Exco Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai usahawan tani mengguna saluran tersebut untuk mempromosi produk sekali gus menjana pendapatan.
“Bagaimanapun, kita mahu mereka yang menyertai jualan e-dagang ini mempunyai kesungguhan dalam berniaga dan kekalkan reputasi agar produk mudah didapati atau tidak bersifat sementara.
“Kita tidak mahu sekiranya usahawan sudah menerima pesanan namun pengeluaran produk terbantut kerana tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan,” kata Izham, lapor SelangorKini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Agroprenuer Selangor (Agrosel) dan AgroShop Sdn Bhd di Wisma PKPS di sini.
Pada masa sama, Pengurus Besar Agrosel, Mohd Safuan Radzali berkata pihaknya bersedia membantu golongan tersebut memasarkan produk dan membuat pembungkusan menarik.
“Kita akan menyediakan kursus bersesuaian dan beri bimbingan kepada usahawan ini untuk membungkus produk mengikut tren masa kini,” jelasnya.
Johorkini