BM | EN | 中文

Kerajaan sedia tingkat aset, prestasi bomba selari kepesatan negara

BOMBA-PENYELAMAT-1024x479.jpg
Advertisement

KOTA TINGGI, 12 OGOS: Kerajaan sedia meningkatkan aset dan prestasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selari dengan kepesatan dan kemajuan negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata JBPM kini memiliki 318 balai bomba di seluruh negara manakala sebanyak 29 balai lagi sedang dalam pembinaan, yang dijangka siap sehingga tahun 2022.

“Bahagian Udara pula mempunyai tiga pangkalan iaitu Pangkalan Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang; Subang, Selangor dan Miri, Sarawak di samping bersedia menambah pangkalan udara di kawasan selatan.

Advertisement

“Ketika ini juga, JBPM mempunyai keanggotaan seramai 15,105 orang pelbagai pangkat dan akan bersedia menambah pengambilan anggota mengikut keperluan pembukaan balai-balai bomba sejurus siap pembinaannya,” katanya dalam sidang media ketika melakukan lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Rengit, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Johor Datuk Yahaya Madis.

Lawatan Mohd Khairul Adib ke JBPM bertujuan melihat pembangunan organisasi jabatan berkenaan seterusnya menyokong kelangsungan jabatan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Advertisement

Beliau berkata mengikut perangkaan, panggilan kecemasan yang diterima oleh JBPM sejak Januari hingga Jun lepas adalah sebanyak 63,849 panggilan berbanding 117,065 panggilan pada tahun lepas dan 110,150 panggilan pada 2018.

Secara keseluruhannya, JBPM berjaya menyelamatkan RM2.5 bilion berbanding taksiran kerugian sebanyak RM443 juta sehingga kini, katanya.

“Secara keseluruhan juga, JBPM telah mencapai 58.04 peratus Response Time (RT) bawah 10 minit pada tahun ini berbanding 53.12 peratus pada tahun lepas, manakala National Average Response Time berjaya dicapai 12.51 minit pada tahun ini berbanding 14.24 minit tahun lepas,” katanya.

Advertisement

Menurut Mohd Khairul Adib, JBPM dalam pada itu telah menubuhkan 2,495 pasukan Bomba Komuniti, 197 pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan 943 pasukan Kelab 3K di seluruh negara bagi membantu JBPM dalam program melibatkan komuniti.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top