JOHOR BAHRU, 30 JUN: Kementerian Perpaduan Negara telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menaik taraf pembelajaran anak-anak di Taska Genius Perpaduan yang kini sudah berusia 11 tahun lebih.
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, usaha menaik taraf itu membabitkan silibus pembelajaran, pemakanan, permainan serta infrastruktur.
Katanya, Timbalan Menteri kementerian itu telah ditugaskan untuk meneliti perkara berkenaan.
“Modul Permata Genius ini sudah berusia 11 tahun, jadi sepatutnya sudah dibuat penilaian semula. Mungkin ada pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan.
“Sudah tiba masanya peralatan pembelajaran anak-anak ini ditambah baik dengan peralatan yang lebih canggih dan berkualiti selain persekitaran seperti pemasangan penghawa dingin dan pencahayaan yang lebih terang,” katanya melibatkan kesemua 41 taska berkenaan yang menempatkan seramai 947 kanak-kanak di seluruh negara.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke Taska Genius Perpaduan di Taman Universiti, Skudai di sini hari ini.
Sementara itu, Halimah turut memberitahu, kesemua 1,781 Tabika Perpaduan melibatkan seramai 38,000 kanak-kanak di seluruh negara akan kembali beroperasi bermula esok.
Menurut beliau, pihaknya berpuas hati dengan persediaan dibuat membabitkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Persiapan bagi pembukaan semula tabika seperti pembersihan, disinfeksi serta susunan mengikut normal baharu telah dilaksanakan.
“Namun ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka dengan tidak menghantar anak-anak yang mempunyai gejala atau tidak sihat, ini selari dengan usaha kita untuk memutuskan rantaian Covid-19,” tambahnya.
Johorkini