BM | EN | 中文

Kerajaan PN Johor pun boleh tumbang, kata naib presiden Bersatu

dun-johor-umno-bersatu-ppbm.png
Advertisement

PETALING JAYA, 4 DIS: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak boleh berlaku di negeri lain, contohnya Johor.

Ia katanya boleh berlaku sekiranya Bersatu menarik balik sokongan kepada menteri besarnya daripada Umno.

Ketika ini, Dewan Undangan Negeri Johor mempunyai 16 kerusi daripada Barisan Nasional (BN), 13 PN, dan 27 Pakatan Harapan (PH).

Advertisement

“Kalau ini boleh berlaku di Perak, saya yakin perkara sama boleh berlaku di negeri lain, contohnya di Johor.

“Kalau Bersatu menarik balik sokongan kepada menteri besar, saya fikir senario sama boleh berlaku kerana kerajaan negeri itu juga ada majoriti kecil,” katanya, lapor FMT.

Pentadbiran Ahmad Faizal Azumu di Perak tumbang selepas beliau hilang sokongan majoriti wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri, apabila usul undi percaya dibentangkan untuk undian belah bahagi pagi tadi.

Advertisement

Sebanyak 48 Adun tidak menyokong berbanding 10 yang menyokong dan satu undi rosak.

Pada Oktober, kerajaan Perak dilaporkan berdepan risiko bertukar kerajaan susulan ketidakpuasan hati dari kalangan pemimpin Umno terhadap rakan mereka, Bersatu.

Rafiq yang kesal dengan perkembangan di Perak memberi amaran rakyat akan menghukum pihak yang mengutamakan kepentingan politik daripada nyawa dan keselamatan negara pada pilihan raya umum akan datang.

Advertisement

“Perdana menteri sudah kata pilihan raya akan diadakan selepas keadaan pulih.

“Jadi sebarang usaha untuk mengubah kepimpinan atau menjatuhkan kerajaan hanya akan memberi kesan pada usaha dan tumpuan kerajaan dalam membantu rakyat,” katanya.

Sementara itu menurut laporan Sin Chew, Naib Pengerusi PKR Perak, Tan Kar Hing tidak menolak kemungkinan apa yang berlaku di Perak boleh berlaku di Johor, memandangkan perbezaan antara kerusi kerajaan dan pembangkang terlalu tipis.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top