BM | EN | 中文

Kerajaan PN diseru tubuh jawatankuasa bipartisan Kuala Lumpur 2024

KL-Kuala-Lumpur.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Ahli-ahli parlimen (MP) Pakatan Harapan (PH) Kuala Lumpur menyeru Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa untuk menetapkan dengan jelas halatuju pembangunan dan pentadbiran di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan kerajaan digesa mewujudkan kerjasama di antara agensi-agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Kuala Lumpur dengan ahli-ahli Parlimen PH untuk bersama mentadbir Kuala Lumpur.

“Ini kerana kami telah dipilih secara sah oleh rakyat dalam pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) yang lalu dan mempunyai keabsahan untuk mewakili suara rakyat Kuala Lumpur serta mengangkat masalah yang dihadapi di kawasan parlimen kami kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahupun kerajaan persekutuan.

Advertisement

“Hari ini, kita berada dalam zaman yang penuh cabaran dan dugaan. Bandaraya Kuala Lumpur amat memerlukan pentadbiran yang baik serta visi yang segar dan baharu.

“Justeru, kami menyeru Menteri Wilayah Persekutuan untuk menubuhkan “Jawatankuasa Bipartisan Kuala Lumpur 2024”, serta menggubal dasar dan perancangan bermula dari sekarang sehingga tahun 2024 dan mentadbir Kuala Lumpur bersama wakil rakyat Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu disokong oleh Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Lim Lip Eng (Kepong), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), P. Prabakaran (Batu) dan Hannah Yeoh, (Segambut)

Advertisement

Menurut kenyataan itu, Kuala Lumpur harus menjadi contoh kepada bandar lain di Malaysia susulan terdapat ramai cendekiawan dan para profesional bermastautin dan bekerja di Kuala Lumpur.

“Kita harus bekerjasama dengan mereka untuk lebih memahami cabaran yang sedang dan yang akan dihadapi oleh Kuala Lumpur dan negara kita.

“Khususnya dalam menambahbaik perancangan bandar, dasar perumahan dan sistem pengangkutan awam, mengatasi masalah alam sekitar akibat perubahan iklim dan mengatasi kemelesetan ekonomi serta mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan pasca pandemik Covid-19” tambahnya.

Advertisement

Dalam pada itu Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL harus merancang agenda jangka pendek Covid-19 dan pasca Covid-19 selain berperanan pro-aktif bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat di Kuala Lumpur.

“Ini termasuklah dengan melaksanakan program saringan berskala besar dan vaksinasi yang membolehkan kehidupan rakyat kembali normal secepat mungkin.

“DBKL boleh mengikuti jejak langkah kerajaan Selangor dengan mengusahakan pembelian 1 juta vaksin untuk warga Kuala Lumpur, bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi penduduk,” ujarnya.

Advertisement

Dalam pada itu kerajaan boleh memanfaatkan jawatankuasa bipartisan ini untuk menjalankan sesi libat urus bersama penduduk dan pemain industri dalam sektor perniagaan bagi merangka dan mengatasi masalah yang dihadapi oleh warga kota Kuala Lumpur.

DBKL juga perlu menjalankan ‘perkhidmatan terbuka’ agar pegawai berpengalaman di agensi kerajaan lain boleh dipindahkan untuk berkhidmat di DBKL.

“Ini bermaksud pegawai DBKL akan tertakluk di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan boleh memindahkan pegawai lebih berpengalaman dan cemerlang di agensi kerajaan lain untuk diserap masuk ke dalam DBKL.

Advertisement

“Manakala pegawai DBKL akan mempunyai peluang untuk berkhidmat di agensi kerajaan lain juga,” menurut kenyataan itu sambil menambah, pembukaan perkhidmatan DBKL akan menyumbang kepada tadbir urus bersih, berintegriti dan efisien.

Dalam kenyetaan sama usaha pendemokrasian Kuala Lumpur perlu dilakukan, susulan belanjawan DBKL adalah yang terbesar di antara semua bandaraya di Malaysia, malah lebih besar daripada sesetengah negeri.

“Kerajaan PN harus mengkaji langkah untuk menjalankan pendemokrasian bermula di Kuala Lumpur kerana terdapat banyak bandaraya bertaraf dunia di negara lain yang melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan bagi penduduk memilih Datuk Bandar dan ahli majlis bandaraya.

Advertisement

“Pilihanraya kerajaan tempatan juga diadakan di bandaraya di rantau ASEAN seperti di Bangkok, Manila dan Jakarta.

“Kuala Lumpur merupakan bandaraya yang paling sesuai untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan kerana ia merupakan ibu kota yang mempunyai belanjawan dan populasi yang tinggi.

“Kami menyeru kerajaan PN melaksanakan pilihanraya rintis Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur (“Pilot Project“) supaya penambahbaikan dan model yang paling sesuai boleh digunapakai untuk perlaksanaan di PBT yang lain.

Advertisement

“Sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan dapat diwujudkan, sudah tiba masanya kerajaan persekutuan menghapuskan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan tujuan mengelakkan pertindihan bidang kuasa dalam pentadbiran di Kuala Lumpur,” ujarnya lagi.

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top