KLUANG, 28 JUN: Kerajaan perlu mewajibkan ujian saringan RTK-Ag Covid-19 setiap minggu bagi semua kilang dan sektor keperluan utama yang beroperasi.
Ahli parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, untuk membantu sektor keperluan utama menyesuaikan diri dalam norma baharu ini, kerajaan mungkin boleh memberi insentif kewangan kepada semua supaya mematuhi keperluan ini, iaitu melakukan ujian saringan RTK-Ag setiap minggu.
“Kini adalah masa melakukan ujian saringan besar-besaran, khususnya terhadap semua kilang yang diberi kelulusan untuk operasi. Kita mesti putuskan rantaian penularan sebelum kita tamatkan lockdown.
“Tanggungan kos ujian saringan lebih memadai daripada kerugian akibat lockdown sekarang.
“Saya percaya majikan akan lebih cenderung untuk melaksanakan strategi ini kalau kita dapat putuskan rantaian penularan secara pantas,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerajaan PN tidak boleh meneruskan strategi gagal tanpa mengambilkira pandangan pembangkang dan pakar perubatan.
Katanya. semenjak pelaksanaan “Total Lockdown” pada 1 Jun, rakyat dan perniagaan dalam sektor bukan keperluan utama diberitahu bahawa, jumlah kes boleh diturunkan dengan langkah lockdown.
“Malangnya, jumlah kes baru-baru ini masih mencecah lima ribu sehari dan kadar positif tidak pernah turun ke bawah 5 peratus.
“Ini menunjukkan bahawa strategi lawan covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan PN adalah gagal.
“Buat masa ini, Kementerian Kesihatan hanya melakukan ujian saringan bersasar apabila kes positif dilaporkan.
“Ramai orang yang langsung tiada simptom terus bekerja, membeli-belah dan menjalankan kehidupan seperti biasa, malah berisiko tinggi menyebarkan virus covid-19 kepada orang lain.
“Kita semua faham pentingnya untuk memutuskan rantaian penularan selepas setahun pendemik sedunia ini. Oleh itu, ramai sudi mengambil ujian saringan sekiranya diberi peluang,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi orang ramai menghadapi tekanan ekonomi dan hilang punca pendapatan akibat dan pada masa yang sama, jumlah kes kekal di tahap yang tinggi.
“Kita tidak boleh lagi duduk di rumah tanpa melaksanakan strategi baharu dan membayangkan hasilnya akan berubah,” kata Shu Qi lanjut.
Johorkini