JOHOR BAHRU, 22 DIS: Kerajaan digesa untuk bersikap telus dalam memberikan maklumat berkenaan harga vaksin, kata Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad.
Beliau ketika dihubungi berkata, kerajaan perlu mendedahkan harga sebenar pembelian vaksin kepada rakyat, berikutan apabila ada pihak yang mempertikaikan harga pembelian vaksin berbanding negara lain.
Dzulkefly berkata, ketelusan pembelanjaan adalah perlu kerana rakyat mengambil perhatian terhadap keadaan ekonomi negara.
“Bagaimana negara lain berjaya mendapatkan harga vaksin Covid dengan kos lebih rendah?”
“Perlunya ketelusan dalam pembelian vaksin ini sebagai tanda kerajaan prihatin dalam pembelanjaan kerana lebih ramai memerlukan bantuan ketika ini.
“Kita juga meminta Jabatan Audit Negara mengeluarkan kenyataan berkenaan harga sebenar vaksin tersebut dan sekiranya lebih mahal dari negara lain, mereka perlu menyatakan justifikasi harga tersebut,” ujarnya.
Beliau yang merupakan Adun Kota Iskandar turut memberi pandangan agar segala pembelanjaan berkenaan pembelian peralatan mencegah Covid 19 dinyatakan secara telus dan terbuka.
“Sebelum ini kerajaan meletakkan harga mahal pelitup separuh muka sewaktu awal PKP dikuatkuasakan dan menjadi pertikaian sehingga kerajaan terpaksa merombak semula harga peralatan berkenaan.
“Turut terdapat kes kerana tidak menepati harga diperuntukkan dalam setiap bungkusan bantuan oleh JKM ketika itu.
“Perkara tersebut membuatkan rakyat celik menilai setiap pembelanjaan kerajaan untuk membendung Covid 19 ini,” ujarnya lagi.
Sebelum ini media melaporkan Belgium membeli vaksin Covid-19 dengan harga RM 1.38 billion untuk 33 juta vaksin berbanding Malaysia dengan harga RM 3 billion untuk hanya 10 juta vaksin sahaja.
Johorkini