BM | EN | 中文

Kerajaan perlu lihat persediaan mental calon SPM – Adun Parit Yaani

aminolhuda-10.jpg

Aminolhuda Hassan

Advertisement

JOHOR BAHRU, 15 FEB: Bekas Exco Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, kerajaan perlu menilai tahap persediaan mental pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, kerajaan dilihat tidak memikirkan alternatif untuk mengadakan peperiksaan itu dalam keadaan pelajar sudah bersedia.

Ia susulan luahan ramai calon SPM yang dikatakan tidak stabil dan kerajaan perlu mempertimbangkan semula keputusan meneruskan peperiksaan itu.

Advertisement

“Kita maklum ia (SPM) telah beberapa kali ditunda. Langkah lebih efektif seperti mengadakan ujian awal bagi melihat prestasi pelajar perlu dilakukan.

“Selain itu kerajaan juga seperti tidak melihat keutamaan atau kepentingan mental pelajar berdepan keadaan seperti hari ini.

“Pastinya moral pelajar jatuh merudum selepas tiga kali peperiksaan ditunda. Ini keadaan yang membimbangkan,” katanya.

Advertisement

Beliau yang juga merupakan Adun Parit Yaani berkata peperiksaan SPM adalah penentuan akhir bagi pelajar untuk memulakan masa depan mereka.

Tambahnya, kerajaan tidak boleh memandang mudah hal berkenaan tanpa sebarang tindakan mampan.

Katanya lagi, calon SPM kali ini kurang berinteraksi dengan guru seperti ulangkaji pelajaran, kerana kebanyakan mereka bergantung kepada sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Advertisement

“Ini bukan perkara main-main. Kita persoalkan bagaimana kaedah kerajaan sekiranya calon SPM itu terpaksa menjalani kuarantin di rumah, adakah peperiksaan tersebut diteruskan?

“Kerajaan perlu melihat keadaan ini dengan lebih jelas, bukan hanya memberi arahan dan memastikan perkara itu terlaksana. Itu ibarat melepaskan batuk di tangga dan sikap lepas tangan,” katanya lagi.

Seramai 400,445 calon SPM dijadualkan menduduki peperiksaan itu pada 22 Februari ini selepas beberapa kali ditunda pada tahun lalu.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top