JOHOR BAHRU, 5 JUL:Penolong Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Sharon Teo berkata, tindakan mempolitikkan program bakul makanan menyebabkan rakyat sangsi dengan keikhlasan bantuan kerajaan.
Katanya, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada bantuan, bukan sibuk menempatkan diri mereka untuk kepentingan politik.
“Ini sangat mendukacitakan apabila rakyat yang memerlukan bantuan tersebut dinafikan hak kerana keinginan politik satu-satu pihak.
“Sepatutnya bakul makanan ini sampai kepada mereka yang memerlukan, bukan tindakan pilih bulu di kalangan masyarakat.
“Apatah lagi yang melakukan perbuatan itu adalah seorang menteri dan ini amat kurang efektif dalam keadaan rakyat yang sangat memerlukan,” katanya ketika dihubungi.
Pegawai khas ahli parlimen Pulai itu menyatakan tugas sebagai pegawai adalah mencari mereka yang terkesan dan membantu.
Katanya lagi, usaha membantu rakyat tersebut perlu dilakukan dengan ikhlas bagi meringankan beban ditanggung rakyat.
“Kami di parlimen Pulai berusaha secara terus menerus memastikan rakyat tidak terputus bekalan makanan.
“Di sini kita tidak perlu tahu latar belakang politik, sama ada penyokong kami atau tidak. Semuanya kami bantu.
“Selagi mereka berada di kawasan Parlimen Pulai tetap kami bantu.
“Memang kami akui terdapat penerima yang bukan pengundi di parlimen kami, tetapi tidak dipinggirkan kerana mereka menetap di parlimen Pulai.
“Itu amanah yang kami pikul,” katanya lagi.
Johorkini