PONTIAN, 20 MEI: Kerajaan perlu agresif dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terjejas, kata Adun Pulai Sebatang, Muhamad Taqiuddin Cheman.
Katanya, ini kerana ramai individu tidak layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana nama mereka tersenarai dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedangkan syarikat mereka tidak lagi aktif.

Adun Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman
Manakala syarat permohonan semula yang rumit dan terlalu banyak protokol membuatkan pemohon tidak memahami cara bagi mendapatkan bantuan tersebut.
“Ini soal penerangan yang tidak sampai. Kerajaan perlu berusaha menyampaikan maklumat agar pemohon mampu melayakkan diri sebagai penerima bantuan.
“Kerajaan perlu lebih bersungguh dalam menyediakan platform atau memudahkan cara rakyat menikmati bantuan berkenaan.
“Kita tidak mahu kerajaan hanya beretorik dalam isu ini tanpa ada sebarang langkah penyelesaian,” katanya lagi.
Sertai telegram Johorkini untuk mengetahui berita dan isu-isu semasa di Johor
Lanjutan itu beliau menyarankan agar lebih banyak penerangan dilakukan agar rakyat boleh membuat pernohonan BPN dengan lebih mudah.
Tambah Taqiuddin, rakyat faham negara kini dilanda masalah wabak Covid-19, namun ia bukan alasan kerajaan melengah-lengah bantuan.
“Kerajaan harus sedar keadaan rakyat. Kita dapat lihat sendiri bagaimana rakyat beratur panjang di kedai pajak gadai demi kesinambungan hidup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Perkara ini serius, apatah lagi menjelangnya Hari Raya Aidilfitri. Perkara ini harus diselesaikan dengan segera,” katanya lagi.
Johorkini