JOHOR BAHRU, 19 ME: Kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berhubung harga ayam di pasaran mengelirukan ramai pihak.

Adun Perling, Cheo Yee How
Adun Perling, Cheo Yee How berkata sebagai timbalan menteri, rakyat memerlukan tindakan beliau dan kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu.
“Kerajaan patut menetapkan harga, bukan meletakkan masalah itu ke bahu rakyat untuk memilih kepada kedai yang menjual dengan harga yang murah.
“Apakah kerajaan tidak ada kuasa untuk mengawal harga ayam serta bahan mentah lain yang kian melambung tinggi?
“Ini menunjukkan kerajaan hari ini gagal menguruskan perkara ini dengan baik sehingga ada yang sewenang-wenangnya menaikkan harga keperluan harian tersebut,” kata Yee How ketika dihubungi.
Rosol dilaporkan semalam menasihatkan pengguna untuk memilih kedai atau pasar yang menawarkan harga ayam yang murah.
Kata Rosol, pengguna ada pilihan untuk membeli ayam pada harga yang murah dan sesuai dengan bajet mereka, dan anggapan bahawa ayam di pasar lebih segar dan murah berbanding pasar raya adalah salah dan perlu diperbetulkan.
Justeru itu kata Yee How, kerajaan perlu menyelesaikan isu berkenaan dalam kadar segera, apatah lagi dengan kehadiran Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
“Pastinya umat Islam di negara ini yang menyambut hari tersebut akan terkesan,” katanya lagi.
Sertai kumpulan telegram Johorkini untuk mengetahui isu-isu semasa di Johor

Abdullah Idris
Sementara itu Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Pulai, Abdullah Idris berkata permintaan terhadap bahan mentah seperti ayam amat tinggi, namun kawalan terhadap harga tidak dilakukan.
Katanya, tidak sepatutnya seorang timbalan menteri membiarkan perkara ini berlaku tanpa sebarang tindakan.
“Rakyat maklum berkenaan cadangan kerajaan menggalakkan pemilihan kedai yang murah. Apa yang disuarakan oleh mereka (ialah) bagaimana harga keperluan ini naik.
“Walau di kedai murah sekalipun, harga tetap naik dari sebelumnya. Isunya adalah soal kenaikan yang tidak dapat dielakkan.
“Apakah kerajaan sedar perkara ini atau kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawalnya?
“Saya menyeru kerajaan segera selesaikan agar perkara sebegini tidak terus membebankan rakyat yang semakin terhimpit ekonominya,” katanya lagi.
Johorkini