ISKANDAR PUTERI, 25 NOV : Kerajaan negeri merancang mewujudkan sistem online bagi memantau prestasi perlaksanaan titik fokus Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pemantauan gerak kerja serta kemajuan sistem petunjuk prestasi utama ( KPI) ini akan diselaraskan oleh Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat).
“Pada waktu yang sama, semua titik fokus yang telah saya bentangkan akan menjadi KPI kepada semua exco dan wajib dimasukkan di dalam KPI jabatan yang berkaitan.
“Semua exco akan duduk semeja dengan ketua- ketua jabatan berkaitan bagi membincangkan gerak kerja perlaksanaan titik fokus tersebut.
“Kesimpulannya, kerajaan negeri yang diterajui oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa serius dan fokus dalam melakukan perancangan serta pembangunan negeri Johor yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hahasrin Hashim (BN-Panti) di Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Terdahulu, Hahasrin meminta Dr Sahruddin (PH-Bukit Kepong) menyatakan kaedah yang kerajaan negeri gunakan untuk memantau prestasi exco khusunya dalam pelaksanaan pelbagai perkara yang diumumkan menerusi Belanjawan Johor dan Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor.
JohorKini