JOHOR BAHRU, 16 OKT : Kerajaan negeri menyokong penuh kerjasama erat menerusi pemeliharaan dan pewartaan yang sedia terjalin antara Jabatan Warisan Negara, kerajaan negeri serta Yayasan Warisan Johor (YWJ).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, bagi tujuan itu, kerajaan telah merancang pelan jangka masa panjang untuk mewartakan beberapa perkara.
Katanya, perkara pertama adalah kain benang, kedua makanan warisan Johor dan ketiga tokoh orang hidup.
“Umum sedia maklum bahawa tahun hadapan kerajaan negeri akan menjadi tuan rumah kepada dua program utama negara iaitu Tahun Melawat Johor 2020 dan Temasya Sukan Malaysia (Sukma).
“Inilah masa dan ketikanya yang sangat sesuai untuk menyambut dan mengalu-alukan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal sempena Majlis Perasmian Festival Hujung Medini 2019 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar YWJ, Jalan Sungai Chat, Johor Bahru, baru-baru ini.
Mohd Khuzzan yang juga Adun Semerah berkata, kerajaan negeri melalui YWJ telah merencanakan pelbagai program yang dapat menyokong dan mendorong pelaksanaan kedua-dua program tersebut.
“Ianya termasuklah memberi keutamaan dan mengetengahkan kekuatan sejarah melalui senibina bangunan, peninggalan tapak dan kebudayaan itu sendiri.
“kesan sejarah peninggalan seni dan warisan jika tidak diterokai akan menjadi lapuk kerana ditelan masa dan zaman,” katanya.
Tambahnya lagi, arus modenisasi kini banyak meninggalkan kesan positif kepada pembangunan budaya dan seni.
“Ini terutamanya dalam konteks kecanggihan teknologi yang menjadi medium komunikasi antara ‘pengirim’ dan ‘penerima’ kesan kebudayaan dan kesenian tersebut.
“Saya yakin kerajaan negeri melalui YWJ akan bergerak dengan bertunjangkan misi dan visi yang jelas, komited serta konsisten memelihara dan mengembangkan warisan budaya secara kolektif kepada semua bangsa tanpa mengira jurang budaya dan adat resam,” katanya lagi.
Tegasnya lagi, meskipun YWJ akan menjadi saluran dalam langkah mengembangkan sayap kebudayaannya ke peringkat yang lebih tinggi, tanggungjawab menyemai dan menyuburkan warisan budaya kepada peringkat akar umbi adalah amanah yang perlu dipikul bersama-sama.
JohorKini