ISKANDAR PUTERI, 9 MAC: Kerajaan negeri akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu sektor yang terjejas ekoran penularan jangkitan Covid-19 (koronavirus) khususnya industri pelancongan.
Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pakej rangsangan tersebut akan diperkenalkan sebelum Sidang DUN diadakan.
“Seperti kita tahu, penularan koronavirus ini menjejaskan pertumbuhan ekonomi khususnya industri pelancongan yang banyak terkesan.
“Kerajaan negeri mempunyai rancangan untuk memperkenalkan pakej stimulus bagi merangsang pertumbuhan ekonomi khususnya bagi industri pelancongan” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga bekas Menteri Besar ke-15.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan mengkaji semula dasar untuk tidak mengadakan sebarang program di hotel sebelum ini dalam usaha membantu sektor perhotelan yang terjejas ketika ini.
“50 peratus daripada cukai pelancongan terhadap hotel dan agensi pelancongan juga akan dikaji bagaimana ia dapat digunakan untuk membantu industri berkenaan.
“Kita juga mungkin boleh kaji semula dasar tidak mengadakan program di hotel yang dibuat sebelum ini untuk bantu mereka yang terjejas,” tambahnya.
Johorkini