KOTA TINGGI, 19 JAN : Kerajaan negeri memperuntuk RM1 juta bagi kerja-kerja membaikpulih Air Terjun Kota Tinggi yang rosak akibat banjir Disember lalu.
Peruntukan berkenaan melibatkan RM500,000 untuk kerja baik pulih kerosakan di bahagian dalam pusat rekreasi tersebut manakala selebihnya untuk ruangan parkir kenderaan.
Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berharap, kerja-kerja tersebut dapat dijalankan secepat mungkin dan dijangka mengambil masa sekitar tiga minggu atau sebulan.
“Air Terjun Kota Tinggi ditutup sehingga kerja-kerja baik pulih kerosakan dapat dijalankan. Dijangka kalau peruntukkan segera, dalam tempoh tiga minggu atau sebulan air terjun akan dibuka semula kepada orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas hadir merasmikan Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Peneroka Felda Lok Heng Selatan sempena siri lawatan beliau ke daerah Kota Tinggi, hari ini.
Antara yang akan dijalankan dalam kerja-kerja baik pulih nanti ialah memasang tembok konkrit, membersihkan semula kawasan air dan laluan pejalan kaki.
Terdahulu, Air Terjun Kota Tinggi ditutup kepada orang ramai sejak 15 Disember tahun lalu akibat banjir.
Johorkini