ISKANDAR PUTERI, 20 MAC: Kerajaan negeri melancarkan Inisiatif Ehsan Johor bagi membantu rakyat khususnya individu yang terkesan dengan penularan jangkitan Covid-19 (koronavirus) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, antara inisiatif itu adalah menerusi sumbangan kepada individu yang didapati positif koronavirus.
Katanya, sumbangan tersebut berupa pemberian sekali atau ‘one off’.
“Sehingga tengah malam semalam, seramai 101 rakyat negeri ini didapati positif jangkitan koronavirus.
“Bagi mengurangkan beban mereka, setiap individu yang didapati positif akan menerima bantuan sebanyak RM1,000, manakala waris kepada individu yang maut akibat koronavirus akan menerima bantuan sebanyak RM2,000.
“Sementara itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan turut menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf yang terkesan dengan situasi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook, Datuk Hasni Mohammad.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga bersetuju memberi peruntukan berjumlah RM20,000 kepada kesemua ADUN di negeri ini untuk dimanfaatkan kepada masyarakat setempat.
“Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menangguhkan pembayaran sewa premis buat seramai 10,371 peniaga yang menyewa di premis milik pihak berkuasa tempatan dan pasar awam seluruh negeri.
“Sebarang perkembangan semasa berhubung perkara ini (koronavirus) akan disampaikan dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Johorkini