BM | EN | 中文

KERAJAAN NEGERI KOMITED PERKASA GAGASAN REVOLUSI HIJAU

IMG-20191121-WA0039.jpg
Advertisement

 

ISKANDAR PUTERI, 21 NOV : Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM14 juta untuk memajukan sektor pertanian di negeri ini dalam Belanjawan Johor 2020.

Inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan padu daripada kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan peruntukan sebanyak RM11.6 juta.

Advertisement

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri komited memperkasa gagasan revolusi hijau untuk mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian, meningkatkan prasarana pertanian, menggalakkan penggunaan teknologi moden dan aktiviti pertanian berskala besar.

“Bagi merealisasikan inisiatif ini, kerajaan memfokuskan kawasan tanah pertanian terbiar dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta melalui Projek Pembangunan Tanah Terbiar, Pembangunan Kolam Ternakan Terbiar dan Pembangunan Tanaman Rumput Makanan Ternakan di kawasan tanah terbiar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2020) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di sini hari ini.

Advertisement

Tambahnya, untuk memperkasakan industri tanaman makanan utama, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta yang memfokuskan kepada projek tanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman ladang.

Katanya, kerajaan negeri mensasarkan sekurang-kurangnya 350 hektar tanah dapat dibangunkan yang dijangka memberi manfaat kepada 200 orang petani.

“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM400,000 pada tahun 2020 dengan mensasarkan kawasan tanaman seluas 100 hektar bagi penanaman jenis kelapa terpilih di Negeri Johor,” katanya.

Advertisement

Jelasnya, kerajaan negeri bersama pihak Johor Corporation (JCorp) juga akan membangunkan projek tanaman kelapa dan nanas di mana sebagai permulaan, JCorp akan membangunkan projek penanaman kelapa seluas 250 ekar pada tahun 2020 di Tanjung Balau, Kota Tinggi.

Disamping itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta yang merangkumi projek akuakultur, penyelidikan, biosekuriti dan pemeliharaan sumber perikanan.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama PETRONAS akan melaksanakan projek ternakan kupang bagi meningkatkan ekonomi masyarakat Orang Asli di Kuala Masai.

Advertisement

“Selain itu, projek melabuhkan tukun tiruan juga akan dilaksanakan di Pengerang. Peruntukan sebanyak RM9.5 juta disediakan bagi melaksanakan projek selama dua tahun bermula tahun 2020.

“Kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan program kebun integrasi ayam kampung kacukan dengan peruntukan sebanyak RM300,000 di mana seramai 120 orang penternak yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah akan menerima manfaat dan berupaya untuk mempertingkatkan ekonomi keluarga,”katanya lagi.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top