BM | EN | 中文

KERAJAAN NEGERI KOMITED LESTARIKAN PERTUMBUHAN PESAT KILANG PERABOT DI MUAR 

IMG-20191010-WA0015.jpg

MUAR, 10 OKT : Kerajaan Negeri komited untuk melestarikan pertumbuhan pesat kilang perabot di daerah Muar menerusi inisiatif menempatkan kilang tersebut dalam satu kawasan perindustrian bersepadu dan terancang.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya tidak mahu kilang-kilang perabot di daerah berkenaan terpaksa ditutup kerana disebabkan isu status tapak kilang yang terhad terutama bagi pekilang yang berhasrat untuk mengembangkan lagi perusahaan mereka.

“Pada masa sama, kerajaan juga tidak mahu operasi kilang terjejas dan penghasilan produk terkesan disebabkan kekurangan pekerja separuh mahir dan mahir.

“Atas dasar prihatin dan kepentingan terhadap industri perabot, maka tercetus inisiatif untuk membina sebuah hab perabot yang cukup membanggakan malah terunggul di Johor dan di Malaysia.

“Sebagai agen pembangunan yang berpengalaman, Johor Corporation sekali lagi telah diberi kepercayaan untuk membangunkan satu kawasan industri yang akan menjadi hab perabot Johor yang kini dikenali sebagai Muar Furniture Park ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pengisytiharan Penyiapan Platform Tanah Industri Pertama Muar Furniture Park (MFP) di Bakri, Muar, petang tadi.

Tambahnya, atas dasar usaha menyokong kepada intipati Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030, dengan adanya MFP ini ia dapat melonjakkan pembangunan industri perabot negara pada masa akan datang.

Katanya, melaluinya, ia sekali gus dapat mentransformasikan Muar sebagai hab perabot utama Malaysia dan rantau ini.

“Muar Furniture Park boleh dijadikan role model bagi pembangunan hab perabot di negeri-negeri lain.

“Pembangunan Muar Furniture Park juga akan mencetuskan inovasi dengan menerapkan teknologi baharu bersesuaian dengan era industri 4.0 termasuk automasi dalam operasi pengeluarannya,” katanya lagi.

Dr Sahruddin berkata, sebagaimana yang dimaklumkan, projek berkenaan dijangka mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.08 bilion dan menyediakan sehingga tidak kurang 10,000 peluang pekerjaan.

Jelasnya, hari ini, Johor Corporation telah menyiapkan platform bagi 32 lot tanah industri yang pertama dalam MFP ini .

“Saya diberitahu, Johor Corporation telah menyiapkan platform tanah industri ini dengan lebih awal berbanding pada Disember tahun ini seperti  yang  dijanjikan kepada pelabur.

“Dengan penyiapan platform lot tanah-tanah industri ini, pelabur di Muar Furniture Park boleh memulakan kerja-kerja mengukur tapak bagi menyediakan pelan kebenaran merancang, pelan bangunan dan sebagainya, seperti ditetapkan agensi berkaitan terutama Majlis Perbandaran Muar, selaku pihak berkuasa tempatan bagi daerah Muar.

“Saya juga berharap agar Muar Furniture Park ini membuka peluang kepada penduduk setempat menyertai perniagaan peruncitan mahupun perkhidmatan.

“Dalam masa sama dapat mengubah landskap perindustrian di Muar kepada status antarabangsa dan sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai pengeluar utama perabot di Malaysia,”katanya.

Beliau turut berharap dengan wujudnya MFP itu akan menjadi pencetus kepada transformasi industri perabot negara yang akhirnya melonjakkan nama negeri Johor sebagai pengeluar utama perabot di Malaysia.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top