JOHOR BAHRU, 18 JAN : Kerajaan negeri komited dalam menjamin kualiti dan tahap kesihatan rakyat agar sentiasa berada dalam keadaan baik melalui pelbagai langkah dan inisiatif yang progresif.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, melalui teras pertama, mensejahterakan rakyat dalam Belanjawan Johor 2020 telah mensasarkan pelbagai inisiatif iaitu penambahbaikan terhadap sistem perkhidmatan kesihatan di Johor antaranya Kad Sihat Johor.
Katanya, pada masa yang sama, kerajaan juga telah menggariskan beberapa agenda penting dalam Belanjawan Johor 2020 bagi memastikan rakyat mempunyai kesedaran tinggi dalam penjagaan kesihatan.
“Ianya, merupakan Program Kembara Kesihatan Johor 2020 yang melibatkan kos sebanyak RM1 juta.
“Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada semua pihak supaya saling berganding bahu dan membulatkan muafakat bagi menjayakan matlamat yang telah disusun oleh pihak kerajaan bagi tahun 2020 dan akan datang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kesihatan Kebangsaan Peringkat Negeri Johor Bagi Tahun 2020 anjuran Persatuan Perubatan Malaysia, di Paradigm Mall, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Sahruddin merupakan Adun Bukit Kepong berkata, melalui karnival yang dianjurkan itu, seluruh rakyat seharusnya mengambil peluang yang diberikan untuk lebih peka terhadap tahap kesihatan masing-masing.
Menurutnya, inisiatif tersebut sekali gus membuatkan rakyat dapat mengetahui lebih banyak lagi mengenai perkhidmatan kesihatan yang ada di negeri ini.
“Karnival ini merupakan usaha murni pelbagai pihak khususnya di Johor untuk menyediakan pelbagai sesi saringan kesihatan tidak terkecuali untuk semua peringkat bagi mendapatkan khidmat rawatan yang disediakan secara percuma.
“Kesedaran dan kepentingan untuk menjaga kesihatan diri adalah penting. Langkah penjagaan untuk menghindarkan diri daripada sebarang wabak penyakit perlu dilaksanakan secara komprehensif sama ada di kawasan-kawasan tumpuan awam, rumah dan sebagainya. Mencegah Itu Lebih Baik dari Mengubati,” katanya lagi.
Johorkini