ISKANDAR PUTERI, 25 NOV : Kerajaan negeri akan mengusulkan cadangan pembinaan jambatan ketiga yang menghubungkan antara Malaysia dan Singapura kepada kerajaan persekutuan seperti mana yang dikemukakan Adun Gambir, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berpendapat cadangan yang dikemukakan Muhyiddin dalam ucapan perbahasan Belanjawan Johor 2020 itu dilihat sebagai satu cadangan yang baik.
“Saya rasa ini cadangan terbaik kerana kedua-dua kompleks iaitu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua yang dibina pada 2003 akan capai kapasiti penuh pada 2020.
“Jadi, pembesaran di kawasan berkenaan, saya rasa tidak dapat menyelesaikan masalah (kesesakan). Oleh itu, cadangan bagi kajian untuk pembinaan jambatan ketiga satu yang baik.
“Kerajaan negeri akan usulkan kepada kerajaan persekutuan dalam masa terdekat,” katanya kepada wartawan semasa sesi sidang rehat ketika Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri telah maklum tentang beberapa cadangan lokasi untuk pembinaan jambatan tersebut, bagaimanapun, tertakluk kepada kerajaan persekutuan untuk membuat kajian lanjut.
JohorKini