BM | EN | 中文

Kerajaan negeri harap peruntukan bina, baiki pembetung Tambak Johor diluluskan

Solihan-Badri-Tambak-Johor-bendera-Malaysia-Ogos-2020.jpg

Gambar Ehsan Solihan Badri

JOHOR BAHRU, 31 OGOS: Kerajaan Negeri Johor berharap agar kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan peruntukan berjumlah RM13 juta bagi membina dan membaiki saliran pembetung di bawah Tambak Johor bagi memastikan aliran air di Selat Johor mengalir dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata permohonan itu telah dibuat pihaknya menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan sekiranya ia diluluskan, projek pembinaan dijangka dapat dimulakan pada pertengahan tahun depan.

Katanya, setakat ini terdapat 10 saliran pembetung yang lapan daripadanya terkambus berikutan kesan projek pembangunan, manakala dua lagi masih boleh berfungsi setakat ini.

“Dua pembetung yang masih berfungsi itu akan diperbaiki, manakala lapan lagi sebolehnya akan ditukar yang baharu.

“Kita harap pembinaan pembetung bergaris lintang sepanjang 1.8 meter yang mengalirkan air dari timur ke barat ini dapat meningkatkan lagi kualiti air, elak pencemaran, atasi bau busuk sekali gus hidupan marin dapat hidup dengan lebih baik,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas program memasang bendera sempena Hari Kebangsaan ke-63 di Tambak Johor di sini, semalam.

Beliau berkata usaha itu juga dilihat dapat mengelakkan kejadian berulang melibatkan ribuan ikan mati di Pantai Lido pada 28 Ogos tahun lepas.

Mohd Solihan berkata projek pembinaan itu tidak akan menjejaskan struktur Tambak Johor atau menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top