BM | EN | 中文

Kerajaan negeri ganda usaha perkasa Industri halal di Johor

festival-halal.jpg

Dr Sahruddin (tengah) menandatangani plak perasmian sebagai gimik menyempurnakan FIJO 2020 (Gambar Ihsan Facebook Dr Sahruddin Jamal)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 5 FEB: Industri pasaran halal sedang berkembang maju dari tahun ke tahun dan mengikut datanya pengguna halal dari seluruh dunia berbelanja lebih US$1.2 trilion untuk makanan dan minuman.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, manakala sasaran pada tahun 2022, angka ini dijangka meningkat melebihi US$1.9 trilion.

Katanya, perkembangan industri halal ini juga amat pesat di rantau Asia Tenggara dan Malaysia berada di kedudukan pertama dalam pasaran ekonomi halal dengan berbekalkan struktur ekosistem yang efisien dan lengkap berbanding negara-negara lain.

Advertisement

“Maka, selaras dengan Dasar Halal Negara, kerajaan negeri turut memberi penekanan dan menggandakan usaha bagi memperkasa industri halal di Johor.

“Dalam Belanjawan Johor 2020, kerajaan negeri juga telah menyatakan hasrat untuk membangunkan sebuah hab halal utama di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Festival Islam & Halal Antarabangsa Johor (FIJO) 2020 di Hotel Double Tree, di sini, malam tadi.

Advertisement

Festival yang kali kedua diadakan itu bakal berlangsung dari 26 hingga 29 Mac depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor, di sini dan dijangka membabitkan sebanyak 400 jumlah tapak jualan dengan jumlah sasaran pengunjung melebihi 100,000 orang.

Dr Sahruddin yang juga Adun Bukit Kepong berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Halal Negeri Johor dengan kerjasama agensi yang berkaitan untuk memacu inisiatif berkaitan halal dan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan umat Islam.

“Majlis Halal Negeri Johor ini akan bertindak sebagai ejen dalam melancarkan sebarang urus tadbir dan proses persijilan halal bagi produk dan industri halal di negeri ini.

Advertisement

“Semua ini jelas membuktikan kerajaan negeri Johor melalui segala ruang mahupun platform akan memastikan syiar Islam terus berkembang di negeri ini, dan sentiasa diperkasakan dari masa ke masa,” katanya.

Mengulas tentang FIJO 2020, beliau memberitahu, penganjuran festival ini sudah semestinya akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dalam usaha meningkatkan aktiviti ekonomi dan kemampanan pembangunan usahawan Johor.

“Malah festival ini juga merupakan platform yang komprehensif bagi mengangkat status Negeri Johor dalam pasaran produk-produk halal di peringkat antarabangsa.

Advertisement

“Saya telah di maklumkan, bahawa penganjuran FIJO buat kali pertama pada tahun 2019 telah memberikan sebuah implikasi hebat kepada pembangunan ekonomi Johor ke tahap yang memberangsangkan.

“Prestasi penganjuran FIJO 2019 telah berjaya merancakkan ekonomi dan pasaran halal bagi Johor sekali gus menyaksikan kebolehan dan keupayaan para usahawan meningkatkan hasil pasaran serta jualan mereka sama ada dalam dan luar negara,” katanya lagi

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top