JOHOR BAHRU, 16 FEB: Kerajaan negeri akan berusaha untuk mencungkil lebih banyak bakat muda dari seluruh Johor khususnya dalam bidang seni lukis kreatif menerusi program Lestari Seni Budaya anjuran Yayasan Warisan Johor.
Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, usaha berkenaan memberi fokus kepada pelajar sekolah khususnya di luar bandar.
Katanya, langkah tersebut merupakan antara inisiatif pihaknya dalam menggilap pelukis seni dalam kalangan generasi muda.
“Kita akan turun ke luar bandar untuk mencari individu berbakat yang mungkin dikekang daripada sudut ekonomi sebelum ini.
“Kita akan beri peralatan melukis dan sebagainya dalam usaha menggalakkan mereka menzahirkan ekspresi masing-masing atas karya seni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pameran lukisan Infinity 2020 di Galeri Seni Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.
Tambah Mohd Khuzzan, pihaknya juga berharap pameran seni seperti itu akan dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke negeri khususnya sempena Tahun Melawat Johor 2020.
“Generasi muda perlu didedahkan dengan cabang seni seperti ini yang berupaya menjadi karier dan mata pencarian mereka pada masa depan.
“Usaha memartabat kesenian harus dipuji agar penggiat seni di negara ini berminat menghasilkan karya lebih signifikan dengan adat dan budaya di setiap negeri,” tambahnya lanjut.
- Johorkini