BM | EN | 中文

KERAJAAN NEGERI AKAN TERUS PERTAHAN STATUS TANAH RIZAB MELAYU

mb-johor-2.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 25 NOV : Kerajaan negeri akan terus mempertahankan status tanah-tanah rizab Melayu di negeri ini bagi memastikan ianya terus kekal menjadi milik orang-orang Melayu.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, terdapat dua kaedah bagi menjadikan sesuatu plot tanah atau kawasan sebagai rizab Melayu.

Katanya, ia melalui perisytiharan oleh Pengarah Tanah dan Galian Johor dengan persetujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam Mesyuarat di bawah Seksyen 3 Enakmen Rizab Melayu Johor 1936 ataupun kemasukan rizab Melayu atas permohonan pemilik tanah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 6.

Advertisement

“Merujuk kepada soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Larkin, berdasarkan rekod di Pentadbiran Tanah Johor, terdapat dua kawasan di Larkin telah diisytiharkan sebagai Kawasan Simpanan Melayu.

“Ia dikenali sebagai Kawasan Rizab Melayu Jalan Larkin seluas 12.73 ekar yang telah diwartakan pada 20 Februari 1975 dan Kawasan Rizab Melayu Larkin di Larkin Jaya seluas 279 ekar yang telah diwartakan pada 18 Julai 1974.

“Di samping itu juga, Kawasan Rizab Melayu Kampung Melayu Majidee seluas 970.418 ekar juga telah diwartakan pada 3 Mac 1949,”katanya menjawab soalan Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) di Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Advertisement

Terdahulu, Mohd Izhar bertanya tentang pendirian serta keputusan kerajaan dalam membuat keputusan terhadap kawasan perumahan Larkin dan Kampung Melayu Majidee yang tertakluk di bawah status tanah rizab Melayu.

Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri akan sentiasa mengambil pendekatan agar status rizab Melayu tidak akan menghalang tanah-tanah ini daripada dibangunkan untuk kepentingan orang-orang Melayu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga 31 Oktober lepas, jumlah keluasan rizab tanah Melayu di Johor adalah 557,563.318 hektar.

Advertisement

“Daerah tertinggi yang memiliki peratusan rizab tanah Melayu adalah Muar 59.19 peratus, Kota Tinggi 46.83 peratus dan Segamat 44 peratus,” katanya lagi.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top