BM | EN | 中文

Kerajaan negeri akan bentuk Majlis Digital Johor – MB

Dr-Ir-Hasni-Mohammad.jpg

Datuk Ir Hasni Mohammad (Gambar Fail)

Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 6 OGOS: Kerajaan negeri akan membentuk Majlis Digital Johor dalam tempoh terdekat ini bagi merealisasikan penubuhan Bank Digital.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata majlis itu berperanan untuk membantu mempercepatkan proses penubuhan bank tersebut dan memperkasakan budaya digital dalam kalangan masyarakat di negeri Johor.

“Untuk membolehkan Bank Digital ini menjadi kenyataan, masyarakat harus menggunakan teknologi digital sebagai gaya hidup seharian mereka,” katanya pada majlis pelancaran Johor E-Market Place di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di sini semalam.

Advertisement

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Izhar Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Dr Chong Fat Full serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani.

Pada April lepas, Hasni berkata kerajaan negeri bersetuju untuk menubuhkan Bank Digital bagi memanfaatkan dan merancakkan ekonomi digital serta ekonomi masa hadapan di negeri tersebut.

Bank Digital ini akan menjadikan sektor kewangan lebih inklusif dan berupaya untuk memberikan khidmat kewangan lebih berkualiti serta bertanggungjawab bagi semua segmen pasaran.

Advertisement

Perbankan digital terutamanya bidang teknologi kewangan sedang berkembang pesat ketika ini, di mana pada tahun 2014, 52 peratus daripada penduduk Asia Tenggara menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian dan kini jumlahnya semakin meningkat, katanya.

Sementara itu, mengenai Johor E-Market Place, Hasni berkata ia adalah jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan pengendali platform e-dagang Shopee untuk membantu lebih daripada 3,000 usahawan Johor memasarkan pelbagai produk mereka, terutama selepas menghadapi cabaran penularan COVID-19.

Bersempena pelancaran tersebut, kerajaan negeri akan menyediakan baucar diskaun yang menarik kepada pengguna selain memberikan latihan kemahiran dan pemasaran yang komprehensif kepada usahawan terlibat.

Advertisement

“Saya menyeru kepada usahawan negeri ini untuk merebut peluang yang diberikan bagi meningkatkan kualiti, nilai dan daya saing produk masing-masing menerusi Johor E-Market Place, ia berlangsung dari 9 Ogos hingga 31 Disember depan,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top