Oleh: Khairul Mohd Ali
PONTIAN 14 NOV: Kerajaan komited dalam memperkasa industri sawit di negara ini khususnya melibatkan pekebun kecil bagi memastikan semua pihak terlibat mendapat manfaat daripadanya.
Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, usaha itu termasuklah memastikan pekebun kecil mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Katanya, kerajaan menyasarkan keseluruhan industri sawit di negara ini akan mendapat pensijilan MSPO menjelang Januari tahun depan.
“Pensijilan MSPO bermaksud minyak sawit yang mampan, yang berkualiti tinggi. Minyak sawit yang mampan dapat dijual ke pasaran antarabangsa dengan harga lebih tinggi.
“Perkara ini dapat meningkatkan pendapatan pengusaha sawit termasuk pekebun kecil. Disebabkan itu kerajaan bersungguh-sungguh memastikan industri sawit di negara ini berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sesi Penerangan Isu-Isu MSPO Pekebun Kecil Sawit Johor yang diadakan di Dewan Serbaguna Sungai Bunyi, di sini hari ini.
Setakat ini, kira-kira 60 peratus pengusaha sawit telah mendapat pensijilan MSPO dengan majoriti bakinya membabitkan pekebun kecil.
Shamsul Iskandar turut memberitahu, bagi memastikan pelaksanaan pensijilan MSPO berjaya dilaksanakan, kerajaan bersetuju memberi insentif seratus peratus kepada pekebun kecil terlibat.
“Antara perkara dibangkitkan pekebun kecil adalah kos, kerajaan bersetuju memberi insentif membabitkan yuran, latihan serta peralatan dan kelengkapan yang diperlukan.
“Kami harap pemberian insentif ini akan membolehkan pekebun kecil mendapatkan pensijilan MSPO,” katanya.
Tambah beliau, antara negara antarabangsa yang berminat mendapatkan minyak sawit dengan pensijilan MSPO adalah Jepun.
JohorKini