ISKANDAR PUTERI, 29 NOV: Kerajaan Johor yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) sentiasa prihatin terhadap golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) khususnya di Johor, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung.
Menurut beliau, melalui peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat sejumlah kira-kira RM76 juta akan disalurkan untuk golongan OKU di negeri ini, dan jumlah itu tidak termasuk bantuan dari Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).
Justeru itu kata Cai Tung, ucapan BN-Sungai Balang (Zaiton Ismail) dalam perbahasan tempoh hari kononnya kerajaan PH meminggirkan golongan OKU sangat tidak tepat dan mempunyai niat serong.
“Hal ini jelas dilihat dengan kerajaan meneruskan pemberian bantuan kewangan bagi golongan OKU di negeri Johor iaitu Elaun Pekerja Cacat seramai 11,630 orang yang menerima manfaat yang melibatkan RM51.7 juta setahun.
“Manakala, Bantuan OKU Tidak Bekerja seramai 8,811 yang akan menerima manfaatnya, melibatkan RM 24.23 juta setahun,” kata Cai Tung pada sesi ucapan penggulungan perbahasan (Belanjawan 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke 14 di Kota Iskandar, di sini, semalam.
Tambahnya, terdapat 29 Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) OKU bagi negeri Johor yang menerima peruntukan geran daripada kerajaan Persekutuan dengan jumlah keseluruhan RM2.73 juta.
Dalam masa sama kerajaan Johor masih meneruskan pemberian Elaun Tambahan kepada Penyelia dan Petugas PDK Johor berjumlah RM200 sebulan selain Bantuan Khas Kewangan RM 2,000 seorang sepertimana diterima kakitangan awam Johor yang lain.
Beliau berkata, projek pembinaan baharu dan naiktaraf bangunan PDK dan Bengkel Sampul Surat untuk OKU turut dalam perhatian kerajaan Johor.
“Kerajaan juga menyediakan penjagaan dan pemulihan OKU termasuk OKU terlantar Taman Sinar Harapan, Tampoi dan Taman Sinar Harapan Jubli dengan jumlah penghuni 267 orang melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM 7.5 juta.
“Dalam Garis Panduan Pengurusan PDK, lantikan Penyelia dan Petugas dijalankan melalui pemilihan oleh jawatankuasa yang terdiri daripada Pengerusi PDK, jawantankuasa PDK dan Pegawai JKM,” katanya.
Beliau yang juga Adun Johor Jaya menambah, Kursus Asas Bahasa Isyarat Malaysia (KABIM) merupakan salah satu inisiatif kerajaan Johor melalui YPKDT bertujuan mewujudkan perkhidmatan mesra OKU.
Ia bakal melahirkan pegawai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, memberi kesedaran kepada peserta agar dapat memahami dan mengaplikasi penggunaan bahasa isyarat untuk memenuhi keperluan komunikasi dengan lebih baik dan berkesan.
Dalam masa sama katanya, inisiatif itu dapat meningkatkan bilangan penjawat awam Johor yang mahir menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) apabila berurusan dengan pelanggan OKU kategori pekak.
JohorKini