JOHOR BAHRU, 20 APR: Kerajaan negeri Johor perlu proaktif untuk memudahkan proses penjualan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) dan lot bumiputera secara atas talian.
Adun Kota Iskandar Sr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan berkata, perkara itu bagi memudahkan pengurusan serta operasi pembelian rumah dan langkah ini perlu dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.
Katanya proses penghantaran borang atau dokumen, penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR), undian terbuka (open balotting) seperti proses lelongan awam oleh Mahkamah sekarang ini boleh dijalankan secara atas talian atau dikenali sebagai e-bidding atau e-auction.
“Walaupun proses urusan atas talian ini akan melibatkan kos khususnya dalam meningkatkan keupayaan ‘server’ komputer SUKJ(P) tetapi ianya merupakan suatu pelaburan yang bijak dalam jangka masa panjang khususnya dalam usaha kerajaan menyediakan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Johor,” kata Dzulkefly.
Katanya, kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 3 April menyatakan kemungkinan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak membenarkan aktiviti perhimpunan yang melibatkan ramai bagi tempoh enam bulan hingga setahun.
“Ini bermakna kemungkinan besar walaupun perlaksanaan PKP ditamatkan tetapi perhimpunan yang melibatkan orang ramai masih tidak dibenarkan sehingga hujung tahun,” katanya.
Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Perumahan (SUKJ P) dan beberapa UTC di negeri ini ditutup.
Melihat kepada senario itu katanya, sama ada dalam tempoh perlaksanaan PKP atau tempoh larangan perhimpunan, orang ramai, Exco Perumahan Johor, dan pejabat SUKJ(P) perlu lebih proaktif.
“Ini bagi memastikan proses penjualan RMBJ dan rumah lot bumiputera dapat diteruskan kerana ia penting disebabakan beberapa faktor,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan faktor tersebut antaranya, proses penjualan akan dapat membantu aliran tunai syarikat pemaju perumahan sesuai Dasar Perumahan Rakyat Johor (DPRJ) penjualan RMBJ dan rumah lot bumiputera hanya dikendalikan SUKJ(P) sahaja.
Selain itu katanya, proses undian terbuka sewajarnya diteruskan bagi membolehkan bakal pembeli membuat perancangan kewangan khususnya untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank.
“Selagi pejabat SUKJ(P) ditutup operasinya, selagi itulah proses penjualan RMBJ dan rumah lot bumiputera tidak dapat dijalankan, tambahan pula pemaju perumahan di Johor tahun lepas mengalami isu lambakan hartanah tidak terjual dianggarkan berjumlah RM 36 billion.
“Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan urusan proses penjualan RMBJ dan lot bumiputera secara atas talian.
“Ini termasuklah proses penghantaran borang dan dokumen yang berkaitan, proses penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR), proses undian terbuka seperti mana proses lelongan awam oleh mahkamah yang sekarang dijalankan di atas talian.
Johorkini