JOHOR BAHRU, 8 APR: Kerajaan Johor perlu segera mengambil langkah proaktif dalam merangka semula kemasukan pekerja Malaysia dari Singapura.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, antaranya melalui langkah mengkuarantin di pusat-pusat kuarantin atau berunding dengan kerajaan Singapura untuk mengekalkan rakyat Malaysia di sana.
“Sehingga hari ini pihak kami dimaklumkan bahawa terdapat seramai 12,000 pekerja rakyat Malaysia dari negara republik itu yang telah masuk ke dalam negara.
“Kerajaan Johor perlu segera mendapatkan maklumat mereka untuk disaring atau dikuarantinkan di pusat-pusat kuarantin yang telah dibuka dalam kadar segera,” kata Aminolhuda dalam satu kenyataan hari ini.
Adun Parit Yaani itu menambah kerajaan Johor perlu membuat persediaan awal seperti mengadakan rundingan segera dengan kerajaan Singapura atau memohon agar kerajaan Persekutuan campur tangan dalam rundingan tersebut.
“Kami bersetuju dengan pandangan Pengarah KKM bagi mengekang wabak Covid-19 ini dari terus merebak melalui mereka yang berkemungkinan membawa pulang penyakit itu dari negara jiran.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Kesihatan dan Alam Sekitar ini telah mengelirukan lagi keadaan di mana terdapat sebahagian besar rakyat mulai panik dan ini akan membawa kepada permasalahan lain yang membabitkan ketenteraman awam akan terjejas.
“Kekhuatiran kami berdasarkan kes-kes yang sebelum ini berlaku di mana terdapat jangkitan wabak ini seperti di Sarawak yang mengambil langkah sama iaitu ‘self quarantine’ di kediaman masing-masing yang akhirnya membawa kepada penularan penyakit Covid 19 di negeri tersebut,” katanya lagi.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Vidyananthan Ramanadhan dalam kenyataannya berkata, kerajaan Johor menggesa agar mereka yang pulang dari Singapura untuk melakukan kuarantin diri di rumah.
Selain itu mereka diminta mematuhi arahan dengan tidak keluar dari rumah, kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau hand sanitizer, menggunakan penutup mulut dan hidung, mengamalkan penjarakan sosial, memantau kesihatan diri dan memaklumkan kepada petugas kesihatan sekiranya mempunyai sebarang gejala seperti batuk, demam dan selsema.
Johorkini