LEDANG, 21 OKT: Kerajaan Johor digalakkan mempromosikan tempat pelancongan baharu bagi menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke negeri ini.
Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Asim Abdullah turut menyarankan kerajaan negeri mengenal pasti potensi tempat pelancongan baharu.
Ujarnya, perkara ini penting demi meningkatkan ekonomi dan pendapatan dalam negeri selepas berlakunya cabaran ekonomi semenjak pandemik Covid 19 melanda negara pada Mac 2020 lalu.
“Selain meningkatkan ekonomi negeri, ia juga boleh meningkatkan ekonomi penduduk setempat di mana sekiranya sesuatu tempat itu dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai tempat pelancongan akan membuka peluang kepada penduduk setempat.
“Selain memperkenalkan tapak pelancongan yang sedia ada, kerajaan juga boleh mengadakan tempat baharu untuk diperkenalkan dan promosikan tempat tersebut.
“Kerajaan perlu memikirkan ke arah itu demi pemulihan ekonomi negeri dan penduduk setempat. Ia boleh juga mengamalkan konsep tapak sejarah dan ‘e-Village’ sebagai tarikan kepada pelancong untuk hadir,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar kerajaan meletakkan perkara berkenaan ke dalam belanjawan yang akan dibentangkan nanti.
Ujarnya lagi, kerajaan juga perlu memberikan penekanan terhadap pencarian tapak baharu pelancongan dalam belanjawan berkenaan.
“Saya mencadangkan agar di dalam belanjawan akan datang ini untuk memfokuskan berkenaan perkara tersebut.
“Perlu ada juga belanjawan penumpuan kepada pencarian tempat pelancongan baharu di negeri ini agar perkara tersebut dapat dibawa,” ujarnya lagi.
Johorkini