SEGAMAT, 11 OGOS: Aktiviti pembukaan tanah dan pembalakan mesti dirancang dengan teliti dan dipantau untuk mengelakkan konflik antara manusia dan haiwan, kata Adun Bekok, S. Ramakrishnan.
Beliau berkata, model pembangunan yang ada pada masa ini tidak mempertimbangkan kesan daripada aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah terhadap habitat haiwan, terutamanya gajah di negeri Johor.
“Gajah dikatakan mengikuti jalan tertentu untuk mencari makanan. Sekiranya ini terganggu, gajah akan beralih masuk ke ladang buah-buahan berdekatan untuk mencari makanan.
“Kita juga dapat melihat banyak video yang tular di laman media sosial mengenai gajah mengamuk keluar ke jalan utama dan mencari makanan dari gerai buah-buahan berdekatan.
“Perkara sebegini berlaku di banyak tempat. Hutan simpanan di Johor semakin kecil keluasannya kerana aktiviti pertanian dan pembalakan.
“Ini merupakan masalah besar kepada kerajaan negeri. Oleh Itu, kerajaan negeri Johor harus mengeluarkan garis panduan mengenai pembukaan tanah dan pembalakan hutan,” kata Ramakrishnan dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau Jabatan Hutan harus lebih proaktif dalam melindungi dan memantau lokasi dan keselamatan gajah di Johor.
“Lebih banyak tempat perlindungan gajah patut dibuat untuk memindahkan gajah yang berada di kawasan pembalakan.
“Petani juga mesti dilatih untuk hidup berdampingan dan mengelakkan konflik dengan gajah. Dikatakan bahawa api dapat menjauhkan binatang-binatang besar ini.
“Secara umumnya, gajah dikatakan akan keluar dari hutan untuk mencari makanan dan tidak membahayakan orang awam,” kata beliau lagi.
Ramakrishnan sebelum itu memberitahu petani kebun dan kelapa sawit di Bekok mengadu kepadanya bahawa hasil tanaman telah dirosakkan dan dimusnahkan oleh gajah liar, babi hutan dan monyet.
Katanya, ladang bersempadan dengan pinggir hutan Taman Negara Endau-Rompin di Bekok diceroboh gajah liar yang merosakkan pokok durian, kelapa sawit dan pisang, sedangkan petani harus menunggu selama lebih kurang 10 tahun untuk menuai hasilnya.
“Mengusir gajah tidak akan menyelesaikan masalah ini kerana haiwan tersebut kembali keesokan harinya untuk makan lebih banyak buah.
“Mereka (petani) meminta agar gajah dipindahkan ke tempat perlindungan atau jauh ke dalam hutan,” kata Ramakrishnan lagi.
Johorkini