JOHOR BAHRU, 10 MAC: Kerajaan Johor digesa membentangkan pelan pemulihan sungai kepada umum sebagai rujukan tahap kualiti sungai, susulan isu pencemaran yang kerap kali berlaku.
Pengerusi Biro Alam Sekitar dan Kelestarian (ASK) Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Rozita Abdul berkata, Johor diketahui mengalami isu pencemaran sungai yang ketara.
“Umum mengetahui dari 51 sungai yang tercemar, 27 adalah di negeri Johor. Perkara ini telah diambil serius sewaktu pemerintahan PH (Pakatan Harapan) sebelum ini.
“Namun apa yang membimbangkan, masalah berkenaan sungai ini mula dipandang remeh oleh kerajaan Johor hari ini.
“Isu ini amat penting bagi kesinambungan kehidupan di negeri ini. Sebagai contoh banjir luar biasa yang berlaku di beberapa tempat seperti di kawasan Johor Bahru disebabkan sungai yang tidak diselenggara dengan baik,” ujarnya.
Rozita sebelum ini telah mendesak kerajaan negeri menumpukan kepada ‘task force’ pemulihan alam sekitar yang dipandang sepi oleh kerajaan.
Beliau yang melahirkan kebimbangan dengan situasi sungai di Johor mengingatkan insiden pencemaran Sungai Kim Kim yang pernah menggegarkan negara dua tahun lalu.
Namun katanya kerajaan masih tidak membuat apa-apa tindakan berjangka pendek dan panjang dalam isu alam sekitar melibatkan kawasan hutan, bukit dan sebagainya di negeri ini.
“Cadangan sebelum ini untuk mendesak kerajaan mewujudkan ‘task force’ alam sekitar turut dipandang sepi.
“Dalam isu sungai pula dilihat seperti tiada apa tindakan dilakukan.
“Akhirnya rakyat akan menerima kean akibat kealpaan kerajaan hari ini. Perkara ini harus dipandang serius,” ujarnya lagi.
Johorkini