JOHOR BAHRU, 14 OGOS: Kerajaan negeri sedang berusaha meningkatkan jaringan pengangkutan awam bagi memastikan lebih banyak destinasi menarik dapat dilawati oleh pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2020.
Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata, usaha sudah pun dimulakan dengan perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).
Perbincangan ini penting kerana Johor menyasarkan 18 juta pelancong domestik dan luar negara melawat negeri ini pada 2020, kata Liow kepada media selepas majlis pra-pelancaran Logo & Maskot Tahun Melawat Johor 2020 di Pusat Membeli-belah Komtar JBCC di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Tourism Johor, Zihan Ismail yang turut hadir pelancaran itu berkata perbincangan juga melibatkan pemandu teksi dan pengendali perkhidmatan e-hailing iaitu Grab Malaysia.
“Perbincangan mengambil kira bagaimana kita mahu memeriahkan lagi kempen lawat Johor itu. Mungkin kita akan bagi pas, pelekat, pamplet Visit Johor 2020 kepada mereka.
“Selain itu, kalau boleh kita nakkan mereka melebarkan perkhidmatan dan laluan ke daerah lain namun untuk Grab, kami sedia maklum bahawa terdapat sedikit kekangan mengenai sistem mereka. Jadi kita biarkan Grab selesaikan isu itu dahulu,” katanya.
Bernama