JOHOR BAHRU, 16 JUN: Kerajaan Johor disaran untuk memanfaatkan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini bagi meningkatkan taraf kemahiran rakyat sesuai permintaan pasaran perkerjaan.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, melalui latihan di IPT berkenaan, rakyat di negeri ini boleh dipersiapkan bagi mengisi kekosongan kerja yang ada.
Katanya, latihan kemahiran separa mahir dan mahir perlu disediakan dengan segera bagi membantu pekerja di negeri ini yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.
‘Institusi negeri seperti Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan beberapa lagi institusi boleh digerakkan bagi membantu golongan ini mendapatkan tempat dalam membina kemahiran mereka sesuai kehendak pasaran.
“Kita mahu membantu golongan yang terkesan ini dalam menghadapi permasalahan yang mereka hadapi.
“Justeru apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah untuk melihat dari perspektif yang lebih dinamik dalam usaha melaksanakan bantuan kepada rakyat di Johor yang kehilangan kerja mereka akibat Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang merupakan Adun Parit Yaani berkata, sebelum ini kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) telah mengemukakan usaha tersebut dengan mewujudkan Universiti Johor.
Tambahnya lagi, usaha PH sebelum ini telah banyak membantu rakyat di negeri Johor khususnya mencari kehendak pasaran serta melahirkan tenaga mahir sesuai dengan kehendak berkenaan.
“Kita boleh lihat Rapid Pengerang yang banyak membuka peluang kepada tenaga mahir selain beberapa sektor lain yang ada di negeri ini.
“Perkara ini perlu diraih segera oleh mereka yang mempunyai latar belakang kemahiran tersebut dan justeru itu kami menyarankan agar kerajaan segera mengadakan langkah-langkah menangani permasalahan ini.
“Selain itu kerajaan negeri juga perlu bersedia untuk berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0 yang lebih mengutamakan tenaga mahir lain bagi menyediakan rakyat untuk mengisi kekosongan keperluan dalam industri baharu ini,” ujarnya lagi.
Sebelum ini kerajaan negeri di bawah PH telah mula menggerakan usaha mewujudkan Universiti Johor yang menumpukan kepada melahirkan tenaga mahir berpendidikan dan berintergriti sesuai dengan pasaran perkerjaan tempatan.
Johorkini