BM | EN | 中文

Kerajaan Johor akui masih tak dapat penuhi permintaan rumah mampu milik yang tinggi

Ayub-Jamil-Exco-Perumahan.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 2 DIS: Kerajaan Johor mengakui penawaran rumah mampu milik di negeri ini masih tidak mencukupi berikutan permintaan yang begitu tinggi dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor negeri Ayub Jamil berkata jumlah rumah mampu milik yang sudah siap dibina sejak 2018 sehingga kini adalah 11,128 unit, dan 1,579 unit lagi dijangka siap dibina tahun depan.

“(Kita) akui jumlah permintaan tinggi berbanding penawaran, namun kerajaan negeri sudah menggariskan strategi bagi menambah bilangan rumah mampu milik di Johor dengan pelaksanaan Kempen Transisi 2.0 iaitu satu insentif galakan kepada pihak pemaju untuk terus membina rumah mampu milik,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Seri Medan) berkaitan jumlah rumah mampu milik di Johor pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di sini, hari ini.

Menurut Ayub, 15,000 unit rumah mampu milik, dijangka akan dibina menjelang tahun 2025, menerusi Kempen Transisi 2.0,

Beliau berkata kerajaan Johor juga menetapkan bagi setiap kawasan yang dibangunkan, pemaju perlu menyediakan komponen rumah mampu milik biaya Johor (RMBJ) sekurang-kurangnya 40 peratus bagi meningkatkan penawaran rumah mampu milik di negeri ini.

Advertisement

Katanya kerajaan negeri turut menjalin kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi pembangunan RMBJ, antaranya Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Perbadanan Islam Johor (PIJ), dengan menyasarkan rumah mampu milik yang dibina adalah sebanyak 1,427 unit.

“Kerajaan Johor juga bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan menerusi penyediaan dana yang diumumkan bagi membina dan menyiapkan rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), PR1MA dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya.

“Kita menyambut baik dan mengalu-alukan usaha sama dengan kerajaan Persekutuan bagi memenuhi impian rakyat memiliki kediaman yang selesa pada harga berpatutan,” katanya

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top