JOHOR BAHRU, 2 APR: Kerajaan negeri Johor telah mengagihkan bekalan kit makanan di 11 buah lokasi di dua kawasan di Simpang Renggam yang kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Vidyananthan Ramanadhan, berhubung situasi semasa kes Covid-19 di negeri ini, hari ini.
“Kerajaan negeri Johor juga telah mengagihkan penghantaran kit makanan ke 11 buah lokasi yang terlibat dengan PKPD di Simpang Renggam iaitu Kampung Parit Ghani, Kampung Parit Talibek, Kampung Parit Basri, Kampung Ibrahim Majid, Bandar Baru Ibrahim Majid, Kampung Parit Salman, Kampung Parit Penghulu, Kampung Parit Hasan, Taman Desa, Kampung Parit Salam dan Kampung Paya,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri mengucapkan syabas dan tahniah pasukan keselamatan yang telah dan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan orang ramai mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Adalah amat penting bagi semua untuk mematuhi penguatkuasaan PKP ini dengan menjaga kesihatan diri iaitu membersihkan tangan selalu
menggunakan sabun atau hand sanitizer serta menjaga jarak sosial 1 meter sebagai langkah untuk memutuskan rantaian Covid 19,” katanya lagi.
Johorkini