BM | EN | 中文

Kerajaan jamin kawalan sempadan negara ketat

Kerajaan-jamin-kawalan-sempadan-negara-ketat.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Kerajaan memberi jaminan kawalan di sempadan negara kini adalah ketat menerusi pelaksanaan Op Benteng bagi mengelak kemasukan pendatang tanpa izin terutama ketika negara berdepan ancaman pandemik COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sempadan negara adalah selamat dan usaha mengekang pendatang tanpa izin sedang dijalankan oleh pasukan keselamatan negara yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia.

“Kita masih kawal ketat sempadan negara dan secara teknikal, pintu (sempadan negara) hanya dibuka kepada golongan profesional dan kategori tertentu… untuk melancong kita tidak benarkan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di sini semalam.

Advertisement

Beliau mengulas kegusaran orang ramai berikutan kes 27 pegawai Imigresen ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti membawa masuk pendatang tanpa izin.

Ismail Sabri menjelaskan penahanan anggota Imigresen yang disyaki terbabit dalam sindiket penyalahgunaan cap pas keluar masuk sempadan utama negara itu tidak menggambarkan identiti keseluruhan jabatan tersebut.

“Apabila orang yang tertentu terbabit dalam pelanggaran undang-undang dan diambil tindakan, tempat mereka akan digantikan dengan orang lain, rakyat tidak perlu bimbang,” katanya.

Advertisement

Dilaporkan sindiket menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara lumpuh apabila SPRM menahan 46 orang termasuk 27 pegawai Imigresen dalam operasi besar-besaran pada Isnin.

‘Sting Operation’ yang dinamakan Op Selat itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen hasil risikan serta pemantauan selama enam bulan di pintu masuk dan keluar negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam penugasan mereka dan rakyat tidak perlu bimbang dengan kesihatan serta keselamatan anggota.

Advertisement

“Kita tidak perlu bimbang, polis ada SOP mereka,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top