BATU PAHAT, 12 MEI: Tempoh notis singkat penutupan perniagaan dikeluarkan kerajaan menimbulkan pelbagai bantahan khususnya di kalangan peniaga kecil di negara ini.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Serudin Soud berkata pihaknya menerima pelbagai laporan dari para peniaga.
Kata Serudin, mereka tidak puas kerana mengalami kerugian besar akibat keputusan mengejut penutupan bazar Aidilfitri oleh kerajaan.

Serudin Soud
“Saya mendapat laporan.. jika sebelum ini sewaktu PKP 1.0 iaitu Ramadan tahun lalu, peniaga kecil Bazar Aidilfitri tidak mengeluarkan sebarang belanja… kalau ada pun secara kecil-kecilan.
“Tahun ini mereka telah mengeluarkan belanja yang banyak dan mengikut jangkaan mereka ‘sale’ boleh mencecah ke paras melepasi modal yang mereka keluarkan.
“Dalam budaya peniaga-peniaga kecil di Bazar Aidilfitri, malam raya adalah kemuncak perniagaan mereka laris dan anggaran malam sebelum malam raya juga dijanjikan sebagai malam kemuncak.
“Namun apa yang berlaku notis singkat dikeluarkan kerajaan merencatkan perniagaan mereka. Ini yang membuatkan mereka begitu marah dan membantah tindakan kerajaan ini,” kata Serudin.
Beliau berkata, peniaga kecewa kerana kerajaan tidak bertindak secara sistematik dalam mengatur soal tempoh perniagaan.
Jelasnya lagi wujud kekeliruan dalam pengurusan kerajaan dalam menangani permasalahan Covid 19 di negara ini.
“Kena ada peraturan yang sistematik bukan berubah-ubah sehingga menjejaskan peniaga-peniaga menyebabkan kedudukan ekonomi mereka terjejas akibat keadaan yang huru-hara ini.
“Kerajaan perlu bersedia lebih awal dalam memberi ruang kepada peniaga-peniaga kecil untuk meneruskan perniagaan mereka,” jelasnya lagi.
Johorkini