BM | EN | 中文

Kerajaan dicadang tawar 500MW kuota NEM untuk tahun 2021 – Ahli parlimen Bakri

yeo_bee_yin_ahli_parlimen_bakri.jpg
Advertisement

MUAR, 4 DIS: Kerajaan dicadang menawarkan kuota baru 500 MW Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering, NEM) bagi meneruskan momentum pertumbuhan industri solar atas bumbung yang berpotensi mencipta lebih dari 15,000 pekerjaan hijau, kata ahli parlimen Bakri, Yeo Bee Yin.

Katanya, dengan penurunan harga penjanaan solar yang berterusan, industri itu berpotensi cerah memandangkan terdapat 3.2 juta hartanah kediamaan, 450,000 unit lot kedai, 90,000 buah kilang teres, 21,000 kilang ‘stand-alone’ dan 1,000 buah pusat beli-belah di Malaysia.

Menurutnya, dasar NEM dapat memenuhi potensi tersebut dan mereka yang memasang solar atas bumbung dapat menjual tenaga solar tambahan kembali kepada TNB dan dengan itu, menjimatkan bil elektrik mereka.

Advertisement

Bekas menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) itu berkata, NEM bermula tahun 2016 dan diberi kuota 500 MW untuk tahun 2016 sehingga 2020.

“Namun sehingga 2018, kadar pengambilan kuota NEM adalah sangat rendah iaitu hanya sekitar 15 MW sahaja kerana harga penjualannya adalah rendah pada “displacement cost”.

“Pada Oktober 2018, kami telah melancarkan NEM 2.0, di mana kadar penjualan solar berubah berasaskan konsep satu-atas-satu (one-to-one offset basis) yang membolehkan pengguna untuk mendapat penjimatan yang signifikan dalam bil elektrik bulanan mereka.

Advertisement

“Kami juga telah mengubah dasar Supply Agreement Renewable Energy (SARE) untuk membolehkan pajakan solar bagi pemilik premis yang tidak mempunyai perbelanjaan modal (CAPEX) yang mencukupi,” katanya.

Tambah beliau, sejak perubahan dasar kadar pengambilan NEM dilihat menggalakkan dengan lebih 20 kali ganda daripada kadar pengambilan sebelumnya dan semua kuota 500 NEM telah diambil sepenuhnya sehingga sekarang.

“Industri solar telah mendapat momentum yang baik. Oleh itu, industri solar menunggu Putrajaya membuat keputusan sama ada polisi NEM akan diteruskan pada tahun hadapan ataupun tidak.

Advertisement

“Jika ya, berapa jumlah kuota baru akan disediakan? Ini akan memberi isyarat yang salah kepada pelabur sekiranya Putrajaya terus berdolak-dalih dalam proses membuat keputusan,” katanya lagi.

Ujarnya, dalam suasana ekonomi dan penciptaan peluang kerja amat penting setiap MW panel solar atas bumbung berpotensi mewujudkan 32.86 pekerjaan.

Ia katanya jauh lebih besar daripada arang batu dan gas di mana masing-masing hanya menciptakan 11.34 dan 1.44 jumlah pekerjaan.

Advertisement

“Kuota NEM 500 MW baru dapat menjana lebih daripada 15,000 pekerjaan hijau.

“Dengan ini, lebih ramai jurutera, juru elektrik, juru teknik yang berkaitan dapat memperoleh pekerjaan yang baik dengan kuota baru ini,” kata Bee Yin lanjut.

Johorkini

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top