KERAJAAN CADANG LAKSANA PAKEJ STIMULUS

KERAJAAN CADANG LAKSANA PAKEJ STIMULUS

Oleh: Khairul Mohd Ali

PONTIAN 7 NOV: Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan pakej stimulus bagi merangsang pertumbuhan ekonomi khususnya dalam keadaan ekonomi yang perlahan ketika ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pakej stimulus merupakan perkara yang biasa dilakukan.

Katanya, perkara sama juga dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu ketika ekonomi perlahan.

“Saya akan cadangkan kepada Kementerian Kewangan untuk adakan pakej stimulus dalam situasi ekonomi tidak berapa kukuh ini.

“Dalam situasi ini, kalau kita tak belanja banyak, ekonomi akan lebih ‘slow’ (perlahan). Maknanya kerajaan akan salurkan bantuan untuk menggalakkan masyarakat berbelanja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) di Rambah, di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, cadangan itu akan dibincangkan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk mewujudkan Pelan Pembangunan Industri Pelancongan khusus untuk Parlimen Tanjung Piai.

“Kawasan ini memang dikenali sebagai kawasan pelancongan, khususnya Tanjung Piai dan Kukup, namun saya percaya masih ada banyak potensi yang boleh dibangunkan.

“Antaranya makanan dan homestay. Ini salah satu daripada janji kita, kerana kita adalah kerajaan, kita boleh lakukan bila-bila masa,” katanya lagi.

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )