ISKANDAR PUTERI, 2 DIS : Belanjawan Johor 2020 yang bertemakan ‘Memakmur dan Mensejahtera Johor Bestari’ memberi penekanan seimbang kepada faktor peningkatan kos hidup rakyat iaitu perumahan, pengangkutan dan pendapatan.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Datuk Ismail Ibrahim berkata, bajet itu berjaya meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama pelaksanaannya.
Katanya, Belanjawan Johor 2020 juga selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Fokus ini adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan memastikan pembangunan ekonomi bersifat inklusif dan berdaya tahan.
“Johor akan melaksanakan Pelan Strategik Bestari Johor yang memberi tumpuan kepada sektor teknologi maklumat yang merupakan kunci kepada pembangunan ekonomi dalam memperkasa rakyat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung pembentangan Belanjawan Johor 2020 yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal pada 21 November lalu.
Tambah Ismail, Johor merupakan penyumbang utama kepada kemasukan pelabur khususnya dalam sektor pembuatan buat enam tahun berturut-turut.
“Irda akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menarik kemasukan lebih ramai pelabur ke negeri ini pada masa depan.
“Saya yakin negeri ini akan terus berjaya menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi berdasarkan asas pelaburan kukuh yang sedia ada,” katanya lagi.
JohorKini